Sokong PM: MP Kuala Kangsar akhirnya 'muncul'

Astro Awani
Oktober 30, 2023 16:55 MYT
Iskandar Dzulkarnain sebelum ini menimbulkan tanda tanya apabila mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar pada 12 Oktober lalu. - Foto fail/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang 'hilang' dari Dewan Rakyat beberapa minggu setelah membuat kenyataan secara terbuka menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhirnya membuat kemunculan hari ini.
Perkara itu diumumkan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) semasa bangun mendapatkan jawapan soalan lisan kelima, hari ini.
"Nak pantun sikit untuk kawan baru... balik Tebrau pergi pasar, selamat balik Kuala Kangsar,” kata Jimmy di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Iskandar Dzulkarnain daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini menimbulkan tanda tanya apabila mengeluarkan kenyataan menyokong Anwar pada 12 Oktober lalu.
Keputusan itu katanya dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Sementara itu, Bersatu yang bermesyuarat baru-baru ini memutuskan untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kedudukan Iskandar Dzulkarnain dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya.
#Anwar Ibrahim #Kuala Kangsar #Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid #sokong PM
;