Sokong PM: Ahli Parlimen Kuala Kangsar dedah sudah terima peruntukan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 2, 2023 14:12 MYT
Iskandar Dzulkarnain (lima, kiri) merasmikan program penyerahan sumbangan ikan dan sayur di Dewan Terbuka Kampung Senggang di Kuala Kangsar pada Sabtu. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengakui beliau sudah mula menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.
Tanpa mendedahkan jumlahnya, wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, dana yang diterima boleh digunakan bagi membiayai program kebajikan rakyat di Kuala Kangsar.
"Belum dapat peruntukan besar lagi, baru sikit-sikit saja. Ada juga perancangan tahun hadapan (untuk laksana) apa yang saya rancang sebelum ini... yang saya tak dapat laksanakan (sebelum ini).
"Sekiranya tahun hadapan saya dapat peruntukan, saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu rakyat di Kuala Kangsar dari segi ekonomi, pembelajaran dan membantu mana yang perlu... seperti sakit kronik dan segalanya.
"Saya (sudah) terima peruntukan awal... amaun tu tak perlu saya dedahkan, saya rasa orang boleh periksa sendiri kalau nak tahu... dari ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri)... Alhamdulillah saya cuba bantu apa yang ada kepada rakyat Kuala Kangsar," katanya.
Beliau ditemui dalam program penyerahan sumbangan ikan dan sayur di Dewan Terbuka Kampung Senggang di Kuala Kangsar pada Sabtu.
Mengulas desakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar mengosongkan kerusi disandang, Iskandar Dzulkarnain berkata, perkara itu tidak perlu dibangkitkan.
Menurutnya, perkara yang lebih penting adalah peranan ahli Parlimen untuk membantu rakyat di kawasannya.
Iskandar Dzulkarnain, adalah antara lima wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Empat lagi ialah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
#Ahli Parlimen Kuala Kangsar #Iskandar Dzulkarnain #peruntukan ahli parlimen #sokong PM
;