Slogan 'saguhati pendaftaran keahlian baru RM100' adalah palsu belaka - Wan Azizah

Tan Su Lin
November 28, 2015 02:45 MYT
Wan Azizah pada Sabtu menafikan sekeras-kerasnya pembayaran saguhati RM100 untuk menyertai PKR. - Gambar Fail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan dakwaan bahawa PKR membayar RM100 bagi setiap ahli baharu menyertai parti politik sayap kiri itu.
"Itu adalah palsu. Kita tidak panggil 'ahli' kita panggil 'anggota'. Kita tahu itu adalah palsu belaka," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR ke-11 di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan wujud kain rentang dipercayai dikesan di sekitar Gombak yang menawarkan RM100 bagi pendaftaran setiap ahli baru dan tuntutan boleh dilakukan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Ia antara lain tertera: "saguhati pendaftaran keahlian baru RM100."
"Wang saguhati boleh dituntut di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di A-1-09, Merchant Square. Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya."
Gambar berhubung tawaran RM100 itu turut tersebar di media sosial sejak semalam.
#kongres nasional PKR #Parti Keadilan Rakyat #PKR #saguhati #Wan Azizah Wan Ismail