Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Abdul Hadi berkata DAP telah mengeluarkan kenyataan kemarahan terhadap kejayaan Pas yang diberikan nama gelombang hijau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
"Sehinggakan, berlakunya gerakan bagi menghalang penubuhan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas dengan cara yang terang lagi bersuluh, walaupun melalui tangan-tangan ghaib yang tersembunyi.
"Mereka mengoyakkan topeng yang melindungi wajahnya yang sebenar, supaya lebih meyakinkan kita kepada perjuangan Islam dan mengenali siapakah kawan dan lawan.
"Ditelanjangkan dirinya sendiri, betapa slogan menentang rasuah, perompak, lanun dan segala salah laku hanya penuh kepura-puraan sahaja," katanya dalam perkongsian tersebut.
Hal ini jelas beliau berlaku apabila semua pihak yang dikutuk tersebut diajak untuk bergabung bersama dan diajak sesiapa sahaja, dalam kerajaan yang dibentuk bagi mencukupkan jumlahnya dengan cara begitu rupa tanpa rasa malu.
Ikuti kenyataan penuh di Facebook Abdul Hadi Awang.