Slim Memilih: Tiada lagi penggunaan berus, sarung tangan plastik

Hasimi Muhamad
Ogos 14, 2020 17:52 MYT
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 tahun, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu. - Gambar fail
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini akan lebih cepat dan lancar berbanding PRK DUN Chini.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan oleh SPR pada hari pengundian tersebut.
*Jelas beliau, ia termasuk tiada lagi penggunaan berus, selain pengundi tidak perlu memakai sarung tangan plastik.*
“Jadi kali ini kita telah memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) kita selepas (PRK DUN) Chini, kita dapati bahawa tidak perlu kita menggunakan berus dan sarung tangan.
“Maksudnya sekarang kita mementingkan sanitasi. Jadi, setiap peringkat apabila mengundi, ada cecair pembasmi tangan supaya ia boleh membersihkan tangan pengundi.
“Jadi, ini harapkan mempercepatkan proses (pengundian) berbanding DUN Chini. Kita lihat apa yang perlahan adalah pakai sarung tangan, nak cap jari dan sebagainya. Jadi kita harap prosesnya seakan-akan tanpa COVID-19,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan menjelang penamaan calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penambahbaikan itu sekali gus mampu mengurangkan kos pelaksanaan pilihan raya.
Azmi menambah, pihaknya turut meletakkan lebih ramai petugas SPR di lapangan bagi memastikan proses pengundian PRK DUN Slim berjalan lebih lancar.
Jelasnya, seramai 689 petugas SPR akan bertugas pada hari berkenaan berbanding hanya 400 ketika PRK DUN Chini.
Dalam perkembangan sama, Azmi turut mengesahkan sebanyak 12 borang pencalonan telah dijual setakat ini.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 tahun, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu.
PRK itu dijadual diadakan 29 Ogos ini dengan 15 Ogos adalah hari penamaan calon dan hari pengundian awal pula 25 Ogos.
Proses penamaan calon ditetapkan selama satu jam bermula pukul 9 pagi.
#azmi sharom #Mohd Khusairi Abdul Talib #pilihan raya kecil #PRK #PRK DUN Chini #Slim Memilih #SOP #Suruhanjaya Pilihan Raya
;