Slim Memilih: Parti bertanding akan bawa apa saja isu di PRK
Ridauddin Daud
Ogos 15, 2020 17:13 MYT
Ogos 15, 2020 17:13 MYT
Parti yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan membangkitkan semua isu yang ada dalam negara sebagai usaha untuk memenangi hati pengundi di kawasan itu.
Antara isu yang dijangka akan dibangkitkan adalah berkaitan Tabung Haji, kes mahkamah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isu kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, isu setempat juga tetap akan dibangkitkan sama.
“Saya rasa isu Persekutuan mesti ada, parti yang bertanding ini akan mainkan semua apa yang boleh. Naratif Persekutuan, naratif setempat akan dimainkan.
“Jadi kalau tengok yang terdekat ini naratif nasionalnya apa, naratif Tabung Haji, isu baru ini seperti kes mahkamah Lim Guan Eng, isu pekerjaan, hilang pekerjaan, ini semua akan digabungkan,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Sabtu.
Mengambil kira keadaan di Slim, Ummu Atiyah berpendapat isu peluang pekerjaan dan harga komoditi juga pasti akan diberi tumpuan.
Tambahnya, parti yang bertanding juga harus bijak merancang strategi terutamanya untuk memikat golongan muda di sana untuk mengundi mereka.
“Calon yang bertanding, parti yang bertanding perlu bijak, macam mana kita nak strategi, untuk buat pengundi muda terutamanya memangkah dalam kotak parti tersebut.
"Manifesto mesti kena ada, tak nak cakap-cakap kosong tapi kena ada produk konkrit, apa benda yang boleh ditawarkan di DUN Slim itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berpendapat PRK merupakan tapak ujian buat parti yang baru ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Meskipun ada pihak yang mungkin mendakwa aura Dr Mahathir tidak lagi sehebat dulu namun kredibiliti beliau sebagai negarawan tidak harus dipandang rendah.
“Jangan pandang rendah pengaruh Tun M. Walaupun ada pihak mengatakan Tun M dah hilang pengaruh tapi tengok ketokohan beliau sebagai negarawan, tak boleh tidakkan.
“Pada pandangan saya, Tun M mungkin cuba untuk tarik pengundi Bersatu. tengok dalam media juga ada dilaporkan,ramai ahli Bersatu keluar untuk sertai Tun M, kemungkinan Tun M akan dapat undi dari ahli Bersatu,” katanya.
Begitupun katanya, sokongan terhadap UMNO dan Pas di kawasan itu juga sangat kuat jika diambil kira keputusan pilihan raya sebelum ini.
Tambahnya, dengan kedua-dua parti itu kini sudah bergabung, kekuatannya juga dijangka bertambah.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Pegawai Pengurus PRK DUN Slim, Shamsul Ridzuan Idris mengesahkan perkara itu ketika mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK tersebut.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu.
#air
#Astro
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#calon
#Cuba
#hilang
#kerajaan
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#mahkamah
#Malaysia
#Manifesto
#menteri
#PAS
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#rakyat
#Tabung Haji
#UMNO
#undang-undang