Slim Memilih: Mukhriz sasar tarik sokongan ahli Pas

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 25, 2020 16:51 MYT
Mukhriz turut menyasarkan golongan pengundi atas pagar. -Gambar fail
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk menarik sokongan ahli Pas bagi mengundi calon Bebas mewakili mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Bakal Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa ini kerana mereka difahamkan terdapat ramai ahli Pas tidak berpuas hati dengan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam PRK berkenaan, Mohd Zaidi Aziz, 43.
Selain ahli Pas, katanya Pejuang turut menyasarkan pengundi atas pagar.
"Berdasarkan maklumat yang kita dapat, ada juga ahli Pas tidak setuju untuk mengundi calon BN, jadi itu sebabnya kita cuba berjumpa dengan seramai mungkin pengundi-pengundi Pas.
"Setakat ini maklum balas mereka agak memberangsangkan... kita harap mereka boleh memihak kepada kita.
"Selain itu, (pengundi) atas pagar juga agak menarik kerana kalau ikut keputusan PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) yang lepas, kumpulan ini berpecah kepada tiga bahagian termasuk yang menyokong Pas.
"Kali ini Pas tidak bertanding (jadi kita harap mereka sokong calon Bebas wakili Pejuang)," katanya ketika ditemui media selepas Sesi Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pada Selasa.
BACA: Slim Memilih: Undi awal bermula 8 pagi
BACA: Slim Memilih: Pakai baju lambang parti, calon BN mengaku 'terlupa', sebelum tukar baju
BACA: Slim Memilih: 65 peratus keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari
PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN, pada 15 Julai lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi; Amir Khusyairi, 38, dan seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44.
#Alor Setar #Barisan Nasional #Cuba #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #pilihan raya #PRK Slim #Slim Memilih
;