Slim Memilih: Medan untuk Pejuang uji penerimaan rakyat - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Ogos 15, 2020 14:04 MYT
PRK Dun Slim menyaksikan pertanding tiga penjuru antara calon Barisan Nasional dan dua calon Bebas. - Gambar Fail
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim merupakan medan untuk Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menguji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti baharu itu.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid menjelaskan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan calon pada PRK itu merupakan satu keputusan yang bijak.
Hujah beliau, dengan menyertai PRK DUN Slim, Pejuang kini memberitahu rakyat kemunculan sebuah parti baharu dan membina momentum untuk mengukuhkan parti tersebut.
"Saya merasakan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir dengan parti baharunya ini lebih dalam konteks pembinaan momentum menuju ke arah perkembangan pengukuhan mereka sebagai sebuah parti.
"Keputusan mereka untuk bertanding di Slim itu satu keputusan yang bijak dalam konteks strateginya iaitu membuat announcement (pengumuman) bahawa parti ini muncul untuk meletakkan atas landasan apa yang mereka hendak perjuangkan.
"Dalam konteks ini Slim akan memberikan ruang kepada parti baharu ini untuk mengetahui apakah kelemahan dan bagaimana mereka mahu mengorak langkah pada masa akan datang.
"Jadi Slim merupakan satu platform yang terbaik untuk mereka menguji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti baharu, ia satu acid test kepada Pejuang untuk mereka mengorak langkah pada masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Dr Hamidin berkata ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperolehi 6,000 undi di kerusi DUN Slim.
Keputusan PRU14 dan jumlah undi yang diperolehi ketika itu menunjukkan rakyat boleh menerima calon dari parti baharu yang diketuai Dr Mahathir.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, telah diumumkan sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Perak itu.
Sementara itu, calon mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, pula akan bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang "pokok".
Manakala seorang lagi calon bebas ahli akademik Santhara Sekaran Subramaniam yang menggunakan logo "buku" disenarai pada nombor tiga kertas undi.
#Amir Khusyairi Mohamad Tanusi #Barisan Nasional #Dewan Undangan Negeri #Dr Hamidin Abd Hamid #Dr Mahathir Mohamad #DUN #Mohd Zaidi Aziz #Parti Pejuang Tanahair #Pejuang #pilihan raya kecil #PRK #Santhara Sekaran Subramaniam #Slim #Slim Memilih #UMNO
;