Slim Memilih: Kempen PRK DUN Slim tamat
Hasimi Muhamad
Ogos 28, 2020 00:05 MYT
Ogos 28, 2020 00:05 MYT
Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim secara rasmi tamat pada pukul 11.59 malam tadi.
PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan S.Santharasekaran.
Pelaksanaan PRK dalam kebiasaan baharu menyaksikan ketiga-tiga calon perlu mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 sepanjang berkempen.
Beberapa calon PRK DUN Slim dilihat lebih banyak menggunakan kempen secara bersemuka dengan menemui seberapa ramai pengundi dalam usaha meraih undi.
Namun, tidak kurang juga menggunakan kempen secara dalam talian termasuk menerusi laman Facebook.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
Sejumlah 96.25 peratus daripada 267 pengundi awal telah menunaikan hak mereka pada Selasa lalu.
Proses pengundian melibatkan seramai 22,749 pengundi biasa akan bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang, 29 Ogos.
#Amir Khusyairi Mohamad Tanusi
#Barisan Nasional
#COVID-19
#Mohd Zaidi Aziz
#pilihan raya
#PKP
#PRK DUN Slim
#S Santharasekaran