Slim Memilih: Kemenangan besar BN cerminan kesepakatan jentera parti - Zahid
Hasimi Muhamad
Ogos 29, 2020 22:20 MYT
Ogos 29, 2020 22:20 MYT
Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim disifatkan sebagai cerminan kesepakatan antara jentera parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu menyusun strategi dengan cukup baik sehingga membawa kepada kemenangan calon BN, Mohd Zaidi Aziz dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim.
“Sebagaimana yang saya nyatakan bahawa pengundi dan rakyat amat rindukan UMNO, BN, dan MN untuk berada di persada kerajaan.
“Kita harap ini adalah indikasi bahawa pilihan raya PRN Sabah jika kesempatan ini diteruskan kerana pilihan raya pertandingan dua penjuru, dapat dikekalkan Insya-Allah di Sabah kemenangan akan memihak kepada calon-calon BN dan rakan-rakan dalam MN,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK DUN Slim, di sini sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, Mohd Zaidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MN kerana membantu kempen PRK kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu itu berkata, kehadiran mereka menyatakan sokongan telah berjaya meraih undi pengundi di DUN Slim.
“Alhamdulillah dengan adanya permuafakatan antara kami di dalam UMNO Bahagian bersama jentera UMNO dalam bahagian, dan Friends of BN di bahagian ini, dapat membentuk dan merangka gerak kerja yang kuat dan padu dalam kita mengerakkan kempen selama 14 hari.
“Dan hasilnya Alhamdulillah terbukti dengan kekuatan, kejituan dan keutuhan serta toleransi ini kita berjaya menang dan kekal menang dengan majoriti besar pada malam ini,” katanya.
Mohd Zaidi berjaya memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 10,945 undi.
Ia sekali gus menewaskan dua lagi pencabarnya masing-masing calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.
Mohd Zaidi memperoleh undi sebanyak 13,060 undi.
Sementara Amir Khusyairi yang juga daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh sebanyak 2,115 undi.
Seorang lagi calon bebas, S.Shantarasekaran hanya mampu berpuas hati dengan 276 undi, sekali gus menyaksikan beliau hilang wang deposit.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#BN
#DUN Slim
#Mohd Zaidi Aziz
#Muafakat Nasional
#pilihan raya kecil
#Presiden UMNO
#PRK Slim
#Slim Memilih