Slim Memilih: Calon BN seru pengundi luar, golongan muda pulang tunai tanggungjawab

Hasimi Muhamad
Ogos 15, 2020 22:16 MYT
MOHD ZAIDI: Insya-Allah kita akan cuba melihat kemenangan untuk Barisan Nasional agar diperolehi. -Gambar fail
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menyeru pengundi luar khususnya golongan muda agar pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.
Calon nombor dua itu berkata sokongan yang diberikan kumpulan pengundi tersebut mampu menjamin kemenangan parti BN.
“Insya-Allah kita akan cuba melihat kemenangan untuk Barisan Nasional agar diperolehi.
"Pada hari berkenaan, yang ada anak ataupun saudara mara di luar sana, saya merayu supaya bolehlah pulang ke kampung halaman dan pulang untuk mengundi saya calon nombor dua nanti,” katanya dalam sesi ceramah di Dewan Semai Bakti, Pusat Daerah Mengundi (PDM) Trolak Selatan, di sini, malam tadi.
Mohd Zaidi berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada pengundi di DUN Slim sekiranya dipilih.
“Saya cuba berikan khidmat yang terbaik demi agama, bangsa dan negara khususnya kepada penduduk di DUN Slim,” ujarnya.
Selain Mohd Zaidi, dua lagi calon Bebas akan memberi saingan dalam PRK tersebut.
Calon Bebas menggunakan logo pokok, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi daripada kem bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi calon Bebas iaitu ahli akademik Santhara Sekaran Subramaniam yang menggunakan logo buku.
#Barisan Nasional #calon #Mahathir Mohamad #MARA #menteri #Mohd Zaidi Aziz #pilihan raya #pilihan raya kecil #UMNO