Slim Memilih: BN akui berdepan cabaran hadapi calon Bebas

Hasimi Muhamad
Ogos 19, 2020 23:09 MYT
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, calon BN, Mohd Zaidi Aziz turut diingatkan supaya tidak mengabaikan pengundi bukan Melayu, kawasan Felda serta kampung tradisional. - Astro AWANI/Nasruddin Samad
Barisan Nasional (BN) mengakui berdepan cabaran dalam mengatur gerak kerja jentera pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berbanding PRK DUN Chini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera parti perlu melaksanakan semua kaedah dan strategi pilihan raya kerana berdepan calon Bebas, daripada parti yang sudah mengemukakan pendaftaran.
Walaupun tidak menyebut secara jelas, kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada calon Bebas daripada kumpulan penyokong, Tun Dr Mahathir Mohamad, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
“Ia agak berbeza dengan calon Bebas di PRK DUN Chini yang lepas kerana ketika itu keadaan parti yang telah terpancul keluar daripada PPBM tidak sama dengan apa yang ada sekarang.
“Walau bagaimanapun semua kekangan dan permasalahan yang ada di (DUN) Slim akan dihadapi kerana seluruh kepimpinan atasan BN telah memperlihatkan komitmen.
“Bersama-sama saya (memberikan sokongan) juga adalah timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha agung BN dan UMNO serta semua jentera telah turun, bahawa kemenangan kali ini memihak kepada calon BN,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, calon BN, Mohd Zaidi Aziz turut diingatkan supaya tidak mengabaikan pengundi bukan Melayu, kawasan Felda serta kampung tradisional.
“Gerak kerja yang dilaksanakan oleh seluruh jentera BN bersama jentera Pas dan PPBM di PRK DUN N.58 Slim telah masuk ke ‘gear’ kelima.
“Ertinya, kita telah menggerakkan keseluruhan 13 PDM (Pusat Daerah Mengundi) di DUN ini, di mana calon sendiri mengikut laporannnya telah pergi ke 64 peratus PDM-PDM,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tujuh pengasas Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) petang Rabu, untuk mengemukakan permohonan rasmi mendaftar parti itu.
#Ahmad Zahid Hamidi #Amir Khusyairi Mohamad Tanusi #Barisan Nasional #BN #cabaran #calon Bebas #gerak kerja #Mahathir Mohamad #Pejuang #pilihan raya kecil #PRK Chini #PRK Slim #Slim Memilih
;