Slim Memilih: 60 tahun hidup bergelap, Orang Asli Kampung Sungai Teras harap sinar

Hasimi Muhamad
Ogos 16, 2020 17:15 MYT
Gaharai Kadik, berkata situasi tersebut menyukarkan kehidupan harian masyarakat Orang Asli di kampung itu. -Astro AWANI
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Demikian gambaran situasi perit yang dihadapi hampir 250 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Teras, Slim di sini, apabila terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik sejak 60 tahun tahun lalu.
Penasihat Tok Batin Suku Kaum Semai Malaysia, Gaharai Kadik, berkata situasi tersebut menyukarkan kehidupan harian masyarakat Orang Asli di kampung itu.
"Orang di sini tiada pilihan, mereka guna lilin. Tapi lilin pun tak tahan lama. Selain daripada itu, mereka guna minyak diesel (untuk menghidupkan api).
"Jadi kalau hendak baca buku (murid sekolah), memang tak boleh sebab semua sudah gelap. Setiap malam memang mereka (murid) tidur awal kerana tak boleh buat apa-apa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Gaharai berkata, tiang elektrik bagi sambungan bekalan ke perkampungan berkenaan sudah siap dibina dan sepatutnya mereka sudah memperoleh bekalan elektrik pada 2018.
Katanya, bagaimanapun projek itu terbengkalai tanpa alasan munasabah, menyebabkan sambungan pendawaian tergendala sehingga kini.
"Jadi keadaannya ketika ini, tiang sudah ada sampai ke rumah tetapi hanya ada meter sedangkan bekalan elektrik tiada," katanya.
Sementara itu, Tok Batin kampung itu, Kuloh Bah Rinteh, merayu agar kerajaan dapat menyambung semula projek bekalan elektrik yang tertangguh itu.
"Kami berharap sambungan elektrik disambung dengan segera. Kami rasa tinggal urusan pendawaian sahaja kerana tiang elektrik sudah siap dibina," katanya.
Selain Kampung Sungai Teras, tiga lagi kampung Orang Asli di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah Kampung Orang Asli Changkat Ramu; Kampung Buluh Seruas serta Kampung Sungai Jentong.
#bekalan elektrik #hidup bergelap #Kampung Sungai Teras #Orang Asli #PRK Slim #Slim #Slim Memilih #Tanjung Malim
;