Sivaraj tegur Ahli Parlimen 'merengek' isu sekolah vernakular, Kampung Baru, 'bak kut teh' dalam Dewan

Umavathi Ramayah
Mac 13, 2024 18:55 MYT
Sivaraj Chandran berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, masyarakat mengharapkan Dewan Rakyat mengangkat agenda rakyat sebagai keutamaan. - Gambar fail/IG Sivaraj
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran menempelak Ahli Parlimen tertentu yang dianggap gemar 'merengek-rengek' membawa perkara remeh-temeh di Dewan Rakyat.
Tanpa memetik sebarang nama atau pengenalan, beliau berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, masyarakat mengharapkan Dewan Rakyat mengangkat agenda rakyat sebagai keutamaan.
Namun katanya, apa yang berlaku di Parlimen adalah sebaliknya.
"Sebagai Ahli Parlimen yang dipilih tidak ada ke isu-isu rakyat untuk diperdebatkan. Isu rakyat seperti kos sara hidup yang semakin meningkat, pendidikan, kenaikan harga barangan asas dan gaji kepada graduan?
"Ini, tak habis-habis (mendebatkan) isu sekolah vernakular, isu Kampung Baru, 'bak kut teh' dan perkara remeh-temeh.
"Ada banyak perkara berkualiti yang boleh dibawa dan dibincangkan tetapi kamu sibuk hal-hal memecah-belahkan negara bukannya menyatukan rakyat," katanya dalam satu perkongsian di Facebooknya, di sini, pada Rabu.
Sivaraj yang juga bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands itu turut membangkitkan kebimbangan mengenai masa depan negara dan nasib anak-anak muda sekiranya 'kemelut' itu terus berpanjangan.
Ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pengiktirafan 'bak kut teh; sebagai makanan warisan negara tiada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.
Sebaliknya, beliau menjelaskan pengiktirafan makanan itu dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Pada Selasa, Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya pula membangkitkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk menggazetkan Kampung Baru di Kuala Lumpur sebagai tapak warisan UNESCO atau sebaliknya.
#Dewan Negara #Dewan Rakyat #bak kuh teh #Kampung Baru
;