Sistem e-voting oleh PKR perlu kajian menyeluruh

Bernama
Julai 8, 2018 12:56 MYT
Muhammad Nur berkata secara dasarnya beliau mengakui pengundian secara dalam talian mampu menjimatkan kos malah pertambahan anggota baru parti pada ketika ini juga menggunakan kaedah sama. - Gambar fail
Kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap sistem e-voting yang pertama kali akan digunapakai dalam pemilihan PKR demi memastikan tahap keberkesanannya tidak dipersoal oleh anggota parti.
Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata walaupun sistem itu mampu mempercepatkan proses pengundian, namun kekangan daripada sudut kemudahan jaringan jalur lebar perlu diambil kira.
"Ada kawasan yang baik, ada yang kurang dan ada yang tiada langsung jaringan jalur lebar. Jadi, cabaran daripada sudut ini perlu diberi tumpuan.
"Kita bimbang proses demokrasi ini tidak berjalan dengan baik sepertimana yang diharapkan oleh pucuk pimpinan sebelum pemilihan dijalankan pada Ogos hingga September ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini, malam tadi.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pihaknya sedang menjalankan ujian terhadap sistem e-voting bertujuan mengenal pasti sebarang masalah sebelum proses pengundian berlangsung membabitkan 800,000 anggota PKR seluruh negara.
Saifuddin, yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, berkata proses pengiraan undi juga dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan PKR selepas undian dilakukan 800,000 anggota parti seluruh negara.
Muhammad Nur berkata secara dasarnya beliau mengakui pengundian secara dalam talian mampu menjimatkan kos malah pertambahan anggota baru parti pada ketika ini juga menggunakan kaedah sama.
Ia secara tidak langsung meyakinkan pucuk pimpinan tertinggi PKR untuk terus menggunakan sistem berkenaan.
"Pemilihan yang lepas melalui sistem sebelum ini (manual) melibatkan kos RM2.6 juta namun sistem baru ini dikhabarkan sekadar menelan belanja sekitar RM200,000 sahaja, ia sesuatu yang baik untuk diterima," katanya.
-- BERNAMA
#dalam talian #demokrasi #e-voting #jimat kos #manual #Muhammad Nur Manuty #parti #pemilihan #pengiraan #pengundian #PKR #Saifuddin Nasution Ismail
;