Siri mimpi dalam ceramah PH, Pas dan BN Kelantan
Vivi Sumanti
Mei 1, 2018 12:55 MYT
Mei 1, 2018 12:55 MYT
Dalam keghairahan Pakatan Harapan dan juga Pas Kelantan menceritakan mimpi masing-masing dalam siri ceramah mereka, Barisan Nasional, BN Kelantan turut tidak ketinggalan.
Dalam beberapa hari siri kempen Pas dan PH, mereka bercerita di atas pentas ceramah mengenai mimpi bertemu bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang misalnya bermimpi bertemu dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz dalam keadaan Allahyarham tanpa sebelah kaki dengan penafsiran mereka terhadap tindakan Nik Omar bertanding atas tiket PKR.
Manakala Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa bermimpi menemui Allahyarham Nik Abdul Aziz sebanyak 15 kali dalam keadaan senyum yang turut digambarkan dengan penyertaan Nik Omar bertanding mewakili PH.
Sebaliknya bagi BN Kelantan, pihaknya tidak bermimpi atau bercerita mengenai mimpi kerana bagi Ketua Penerangan BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, tidur calon mereka dan juga Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustafa Mohamed nyenyak kerana keletihan.
“Saya tak bermimpi, saya balik tidur pun pukul 1-2 pagi, badan letih, tak ada mimpilah,” katanya ketika ditemui di sini.
Md Alwi diajukan soalan sama ada beliau bermimpi bertemu sesiapa seperti yang dialami oleh Pas dan juga PH.
Menurutnya, beliau hanya bercita-cita untuk melihat rakyat Kelantan memberikan peluang kepada BN menguasai kerajaan kerana cita-cita berkenaan atau 'mimpinya' itu hasil bakti yang dicurahkan (BN) untuk negeri ini sepanjang masa.
#Barisan Nasional
#BN
#calon
#DUN
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#Md Alwi Che Ahmad
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#PAS
#pilihan raya umum
#PRU14