Sinar Harian lancar tabung biayai calon terpilih PRU14

Sinar Harian
April 9, 2018 23:52 MYT
Sinar Harian hari ini melancarkan Dana Amanah Sinar Harian bagi membiayai calon yang bakal bertanding dalam PRU14 nanti. - Foto Sinar Harian
Sinar Harian hari ini melancarkan Dana Amanah Sinar Harian bagi membiayai calon yang bakal bertanding dalam PRU14 nanti.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, dana tersebut akan digunakan kepada calon daripada semua parti layak untuk menerima pembiayaan itu, namun syaratnya mestilah calon itu berumur 30 tahun ke bawah.
"Langkah ini sebagai galakan untuk anak muda sertai politik.
"Kita akan pilih 10 calon secara adil dan saksama, tanpa memihak sama ada daripada BN, Pas, Pakatan Harapan mahupun Bebas," katanya di sini, hari ini.
Katanya, antara yang dibiayai adalah wang deposit, cetakan poster dan lain-lain.
Berikut kenyataan penuh Hussamuddin dalam akaun Facebooknya:
“Jika kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini”
Dalam membangunan era politik cara baru, penyertaan belia dalam politik mestilah dijadikan norma di Malaysia. Penyertaan belia dalam membuat dasar-dalam Negara adalah penting untk memajukan Malaysia. Ini kerana penyertaan Belia yang maksimum akan memberikan perspektif baru dalam cara undang-undang digubal.
Parti-parti politik di Malaysia telah lama memperkenalkan persatuan pemuda di parti masing-masing. (ARMADA, PPBM, Pemuda UMNO, Dewan Pemuda PAS Pusat, Angkatan Muda Keadilan, dan sebagainya)
Terdapat beberapa ahli politik muda yang terkenal dalam bersuara dan memberikan pendapat mereka dalam pergerakan parti politik mereka antaranya;
• Ulya Awamah (PPBM)
• Syed Saddiq (PPBM)
• Nik Nazmi (PKR)
• Wong Kah Woh (DAP)
• Shahril Hamdan (UMNO
• Rahman Hussin (UMNO)
• Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor (PAS)
• Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS)
Namun, ahli-ahli politik muda yang sentiasa menghadapi halangan dan cabaran dalam membina kerjaya politik yang baik; dan cabaran utama yang mereka hadapi adalah kekangan dari segi kewangan.
Wang memainkan peranan yang penting dalam politik, terutamanya apabila seseorang telah memutuskan untuk bertanding dalam pilihan raya. Ini kerana dalam politik, pengurusan pasukan, media, program-program, logistik, dan pembiayaan pasukan di lapangan memerlukan sejumlah wang yang konsisten.
Berdasarkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, kos minimum yang diperlukan untuk bertanding dalam pilihan raya adalah seperti berikut:
Deposit kepada Pegawai Pengurus: -
• Kerusi Parlimen - RM10,000
• Kerusi negeri - RM 5,000
Deposit untuk membersihkan bahan yang digunakan semasa tempoh kempen: -
• Kerusi Parlimen - RM5,000
• Kerusi negeri - RM3,000
Perbelanjaan yang dibenarkan semasa kempen: -
• Kerusi parlimen - RM200,000
• Kerusi negeri - RM100,000
Bagaimanapun, ini tidak termasuk perbelanjaan yang diperlukan untuk membayar kakitangan dan untuk pelbagai keperluan seperti perbelanjaan perjalanan, makanan, penginapan dan lain-lain
Secara umum, untuk menjalankan pilihan raya, jumlah purata yang diperlukan adalah :-
• Kerusi Parlimen - RM215,000
• Kerusi negeri - RM108,000
Buat masa ini, ahli politik muda bergantung kepada beberapa sumber kewangan untuk menjalankan kempen masing-masing termasuk simpanan peribadi, simpanan dan sumbangan ahli keluarga, sumbangan parti politik, pinjaman peribadi, program-program pengumpulan dana dan tajaan dari pihak ketiga.
Menyedari media juga memainkan peranan besar dalam pembangunan belia, SINAR HARIAN berbesar hati untuk mewujudkan satu dana amanah khusus untuk belia berumur bawah 30 tahun dalam politik yang didedikasikan untuk memaksimumkan bilangan belia dalam politik dengan mengumpul beberapa dermawan tempatan.
Mengambil contoh dari Yayasan Keluarga Barbara Lee yang ditubuhkan oleh dermawan Amerika, Barbara F. Lee., dana amanah ini akan dijalankan sebagai satu pergerakan bukan berdasarkan parti yang juga terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang sosial dan politik belia.
Selain mengumpulkan dana, SINAR HARIAN juga akan memberikan liputan media kepada sepuluh belia pertama yang menerima dana dari Dana Amanah ini. Ini kerana pengaruh media sangat penting dalam membantu belia memberikan impak yang positif dalam usaha mereka.
Sehingga hari ini, Dana Amanah SINAR HARIAN untuk Belia dalam Politik ini sudah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM200,000.
Apabila faktor kekangan kewangan dapat dialihkan sebagai salah satu cabaran belia dalam membentuk masa depan negara dan digabungkan dengan liputan media yang meluas kepada belia dalam politik yang berkaliber, negara kita akan mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen muda di Parlimen.
#Barisan Nasional #Bebas #BN #calon #Dana Amanah Sinar Harian #Dr Hussamuddin Yaacub #Pakatan Harapan #PAS #pilihan raya umum #PRU14 #Sinar Harian
;