Sin Woon tidak layak tentukan calon kerusi Cameron Highlands - myPPP

Astro Awani
November 24, 2017 10:34 MYT
Chong Sin Woon (gambar) diminta menghormati pesanan Datuk Seri Najib dalam isu pemilihan calon untuk kerusi Cameron Highlands. -Gambar fail
Ketua Pemuda MCA Senator Datuk Chong Sin Woon diminta menghormati pesanan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu pemilihan calon untuk kerusi Cameron Highlands.
Ketua Pemuda myPPP Sathiah Sudakaran menegaskan calon untuk kerusi itu hanya dipilih berdasarkan faktor boleh menang serta disegani dan bukan atas dasar tradisi sesuatu parti.
"Saranan Sin Woon kepada ahli MCA Cameron Highlands untuk mengundi Ketua Pemuda MIC Datuk C. Sivaraj di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-70 SJK (C) Bertam Valley pada 18 November lepas amat dikesali.
"Dia sepatutnya peka kepada senario politik yang sedang melanda kerusi P078 ini. Sebagai seorang ahli komponen parti Barisan Nasional (BN), dia seharusnya menyokong mana-mana calon yang dipilih Datuk Seri Najib dan bukannya memilih kasih dan menamakan calon kesukaannya semata-semata.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku di mana PRU14 akan datang amat penting kepada BN dan setiap langkah yang diambil perlu menitik beratkan sikap setia kawan di antara parti komponen," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
BACA: Ahmad Zahid: Hormati keputusan pembahagian kerusi dan calon PRU14
BACA: Kerusi Cameron Highlands: Kayveas mahu selesai cara baik dengan MIC
Tegasnya, tindakan Sin Woon itu seolah-olah mempersendakan kehadiran Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas di Cameron Highlands sejak tiga tahun lalu.
"Tan Sri Kayveas bekerja tanpa henti menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pengundi Cameron Highlands.
"Beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang disegani oleh rakyat di sana, malah telah mendapat mandat daripada Perdana Menteri sendiri untuk ke Cameron Highlands dan memastikan kerusi tersebut kekal kepada BN selepas Ahli Parlimen kini, Datuk Seri G. Palanivel dipecat sebagai Presiden MIC dan kini menjadi calon bebas," jelasnya.
Katanya lagi, tidak salah, untuk sesiapa mencalonkan bakat muda pada PRU akan datang tetapi menentukan calon pilihan sendiri tanpa menghiraukan mandat dan saranan Datuk Seri Najib memberi impak negatif kepada kredibiliti Sin Woon sendiri.
"Sivaraajh, iaitu Koordinator MIC Parlimen Cameron Highlands dilantik di peringkat partinya, hanya tiga bulan bekerja di sana, dan bukanlah anak tempatan dari Cameron Highlands.
"Walau di mana kita berada, saya rasa, penghormatan perlu diberikan kepada orang yang lebih berpengalaman dan biarkan rakyat menentukan siapa calon yang mereka ingin di kerajaan persekutuan kelak.
"Saya berharap, Sin Woon lebih sensitif semasa memberikan kenyataan terbuka yang melibatkan parti komponen lain, supaya, semangat setia kawan yang kita pikul selama ini akan berkekalan tanpa musibah yang tidak diingini berlaku," ujarnya.
Sementara itu, Pengurusi myPPP Pahang Datuk Elayppen berkata, Sin Woon perlu mengetahui bahawa MIC hanya melantik Sivaraajh sebagai penyelaras MIC Bahagian Cameron Highlands.
"MIC sendiri tidak mengumumkannya sebagai calon Parlimen di Cameron Highlands, selain Sivaraajh juga baru tiga bulan turun padang di Cameron Highlands.
"Kayveas sendiri telah berkhidmat kepada masyarakat Cameron Highlands selama tiga tahun dan telah mendapat mandat daripada Perdana Menteri untuk bekerja di Cameron Highlands.
"Semua kaum di Cameron Highlands memahami sumbangan beliau selama tiga tahun di sana," jelasnya.
BACA: 17 tahun saya tunggu kerusi Cameron Highlands - Kayveas
BACA: Kerusi Cameron Highlands kekal milik MIC - Dr Subramaniam
Tambahnya, Sivaraajh juga memperalatkan media sosial dengan bergambar dengan beberapa pemimpin untuk mencari populariti murahan.
"Dia mahu nampak seolah-olah disokong oleh semua kepimpinan. Ini menunjukkan dia masih tidak cukup berpengalaman dan kurang matang lagi.
"Sin Woon pula perlu tumpu dalam kawasan sendiri iaitu Seremban di mana dia telah kalah pada PRU ke-13 di Parlimen Nilai.
"Dia juga perlu tumpu kepada undi masyarakat Cina. Hentikan perbuatan memperlagakan parti komponen," katanya.
Tegasnya, myPPP Pahang mempunyai hubungan baik dengan Presiden MCA dan perlu kerjasama yang baik menghadapi PRU ke-14.
"Kalau Sin Woon perlukan sokongan myPPP, dia sendiri perlu elak untuk mengeluarkan kenyataan seperti ini.
"Tindakan Sin Woon berunsur sabotaj terhadap Kayveas yang telah mendapat sokongan mayarakat di Cameron Highlands.
"Saya nasihatkan dia hentikan tindakan sebegini dan jangan merosakkan perhubungan baik myPPP dan MCA," tegasnya.
#Barisan Nasional #Chong Sin Woon #Dr Subramaniam #MCA #MIC #Najib Razak #PRU14
;