Sifatkan Sidang Dewan Rakyat sebagai 'sampah', Xavier didakwa hina institusi diraja
Astro Awani
Mei 19, 2020 13:09 MYT
Mei 19, 2020 13:09 MYT
Tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang didakwa melabelkan Sidang Parlimen yang berlangsung pada Isnin sebagai 'sampah' disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap institusi diraja.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee dalam satu kenyataan berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung krisis politik yang berlaku di negara ini adalah amat jelas dan perlu dihormati oleh semua ahli Dewan Rakyat.
Justeru, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, katanya, Xavier yang dipilih mewakili rakyat tidak sepatutnya menyuarakan pendapat sedemikian.
“Tindakan Xavier jelas menunjukkan yang beliau bukan sahaja menghina sistem Raja Berperlembagaan di negara ini malahan mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang berkenan memilih pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada Astro Awani, hari ini.
Mohammed Ridzal menambah Pakatan Harapan (PH) yang kini berada di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat perlu menerima hakikat, sekali gus meraikan demokrasi sebagai yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini.
Sementara itu, dalam satu jemputan media Mohammed Ridzal memaklumkan akan membuat satu laporan polis terhadap Xavier yang juga bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli di Balai Polis Wangsa Maju, hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai 'sampah'.
Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau berkata Sidang Dewan Rakyat tersebut ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.
#Astro
#Astro Awani
#Dewan Rakyat
#Kuala Langat
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#Perikatan Nasional
#PPBM
#Sidang Dewan Rakyat
#Yang di-Pertuan Agong