Sifat kekeluargaan kekuatan sebenar UMNO - Najib
Bernama
September 12, 2015 22:46 MYT
September 12, 2015 22:46 MYT
Datuk Seri Najib Razak berkata setiap anggota UMNO perlu mempunyai sifat kekeluargaan yang jitu kerana ia merupakan kekuatan sebenar dalam parti itu.
Presiden UMNO itu berkata sebarang perpecahan dalam parti, khususnya yang berpunca daripada perbezaan pendapat, hanya akan merugikan selain boleh menjadi faktor kekalahan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
Mengambil contoh kekalahan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pekan pada pilihan raya umum 1999 yang dikatakan berpunca daripada perbezaan pendapat, Najib mengingatkan supaya perkara itu tidak berlaku sekali lagi.
"Puncanya ialah sebahagian besar ahli UMNO tak sokong calon. Inilah keadaan paling kritikal apabila ahli sendiri tidak mendokong dan menyokong calon yang dipilih," katanya ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di sini, hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya telus dalam melaporkan perkara sebenar di kawasan masing-masing sama ada yang baik atau sebaliknya.
"Ceritakan yang sebenar, bantu rakyat dan selesaikan masalah mereka dengan jujur dan ikhlas. Bagi Parlimen Pekan, tolong beritahu saya jika ada masalah seperti bekalan air atau sebagainya. Saya tidak mahu hanya dapat laporan semua OK tetapi sebenarnya tidak OK.
"Kita tidak boleh anggap penyokong tegar UMNO tidak perlu pembelaan sewajarnya," katanya.
Anggota UMNO juga turut diingat supaya sentiasa peka dengan perubahan semasa terutama perkembangan media sosial yang menjadi alat untuk menyebarkan maklumat dengan pantas dan meluas.
UMNO, katanya perlu menggunakan senjata baharu itu untuk menangkis serangan pelbagai pihak yang mahu menjatuhkan parti dan kerajaan.