Sifat berkasih sayang pendekatan terbaik dalam berdepan kemelut politik

Harits Asyraf Hasnan
Mac 7, 2016 20:26 MYT
SHAHIDAN: Kenapa mesti ambil pendekatan bergaduh sampai tidak ada hentinya ini? - Gambar Bernama
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui sifat berkasih sayang menjadi pendekatan terbaik dalam berdepan kemelut politik yang melanda negara ini.
Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang sanggup bergaduh semata-mata akibat berlainan fahaman.
"Kenapa mesti ambil pendekatan bergaduh sampai tidak ada hentinya ini? Untuk apa ya? Berkasih sayang.
"Saya nak kawan, (dan) musuh solat dekat saya kalau saya mati. Itu yang menjadi harta kepada saya di kubur dan di akhirat nanti," itu kata Shahidan ketika ditemui Astro AWANI di perkarangan Parlimen hari ini.
Justeru, Shahidan juga percaya isu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menghadiri Deklarasi Rakyat hanya dapat diselesaikan menggunakan pendekatan kasih sayang.
"Kasih sayang ini adalah pendekatan. Tun (Dr Mahathir) pakai pendekatan deklarasi, saya pakai pendekatan kasih sayang. Saya tidak akan ubah kasih sayang saya kepada mana-mana pihak.
"Kalau kita buat apa pun dengan tujuan untuk mengenepikan mana-mana pihak, sudah pasti ia tidak akan menyelesaikan mana-mana masalah.
“Kalau nak selesai masalah kita ambil pendekatan kasih sayang. Saya ambil pendekatan kasih sayang, menghukum tidak menyelesaikan masalah,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Arau itu juga percaya hanya Parlimen dan pihak parti sahaja mampu membuat keputusan untuk menyingkirkan Najib dan bukannya menerusi kempen dalam talian.
"Bagi mana-mana pihak, ambillah pendekatan demokrasi berparlimen. Kalau kita asyik berterusan begini, seperti Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Abdul Halim) sebut tadi, ia meletihkan," jelasnya.
#Datuk Seri Mukhriz Mahathir #Deklarasi Rakyat #fahaman politik #Konsep berkasih sayang dalam politik #Muhyiddin Yassin
;