Sidang media dibatalkan, siapa Ketua Menteri Melaka?

Shuhada Abdul Kadir, Fareez Azman
Mac 4, 2020 15:06 MYT
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Sazali Muhd Din kepada media sebentar tadi. - Foto Astro AWANI
Persoalan siapa Ketua Menteri Melaka terus berpanjangan apabila media dimaklumkan tiada sidang media khas akan dijalankan pada hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka, Datuk Sazali Muhd Din kepada media sebentar tadi.
"Saya mengambil ruang dan peluang ini mewakili Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada semua media yang berada dari pagi.
"Suka saya memaklumkan bahawa tiada sidang media akan dibuat oleh Presiden atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri hari ini," katanya kepada media sebentar tadi.
Sidang media khas dijadualkan berlangsung kira-kira jam 11.30 pagi, bagaimanapun ianya ditunda sehingga pertemuan diantara Presiden Umno dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob tengahari tadi selesai.
Sehingga kini, tiada penjelasan mengapa sidang media itu dibatalkan.
Ia sekaligus memberi bayangan Perikatan Nasional yang mendapat sokongan 17 Ahli Dewan Undangan Negeri belum dapat memuktamadkan calon Ketua Menteri yang baharu meskipun berlangsung pertemuan diantara Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri tengahari tadi.
Terdahulu, Zahid meluangkan masa kira-kira dua jam dalam pertemuan itu sebelum dilihat meninggalkan Kompleks Seri Negeri.
Pertemuan itu turut disertai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
#calon #Ketua Menteri #Malaysia2020 #menteri #presiden #Sazali Muhd Din #TYT Melaka #UMNO #Zahid Hamidi
;