Sidang Khas Parlimen: KPM, KPT wajar bentang isu pendidikan negara - JKPPH
Astro Awani
Julai 21, 2021 12:27 MYT
Julai 21, 2021 12:27 MYT
KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) hari ini melahirkan rasa kecewa apabila aturan Persidangan Khas Parlimen yang akan bermula 26 Julai ini tidak melibatkan pembentangan berkaitan pendidikan negara di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementeran Pengajian Tinggi (KPT).
Jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan bersama menggesa agar perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan yang dirangka KPM dan KPT turut dibentang.
"Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum pengumuman Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berkaitan Persidangan Khas Parlimen yang akan diadakan mulai 26 Julai 2021 sehingga 2 Ogos 2021 berdasarkan notis aturan mesyuarat yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan agenda Persidangan Khas Parlimen kepada semua Ahli Parlimen.
"JKPPH amat berdukacita apabila dalam aturan tersebut hanya pembentangan dalam bentuk penerangan Menteri mengenai perancangan kerajaan terkait dengan Program pencegahan COVID-19, Program Vaksinasi, Darurat, dan Pelan Pemulihan Negara sahaja yang dijadualkan dalam tempoh lima hari persidangan khas tanpa adanya pembentangan mahupun perbahasan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah KPM dan KPT.
"JKPPH berpandangan isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak COVID-19 sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi serta seharusnya diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas ini," jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, JKPPH menuntut agar Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung memasukkan pembentangan perancangan KPM dan KPT sebagai antara agenda mesyuarat.
Selain itu Ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT, bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.
"JKPPH ingin menegaskan bahawa rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT di waktu ini dilihat sebagai kehilangan arah dan hala tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.
"Ketiadaan pembentangan dari kedua-dua kementerian ini di dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut," ujar kenyataan itu lagi.
#Dewan Rakyat
#Pakatan Harapan
#Kementerian Pendidikan
#Parlimen
#program vaksinasi
#COVID-19
#ekonomi
#sekolah
#pendidikan
#Buka Parlimen
#Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
#JKPPH
#KPM
#KPT
#Politik Malaysia