Sidang DUN Sabah ditangguh ke September

Eleanor Michelle Patrick
Ogos 19, 2021 13:05 MYT
Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya berkata, tarikh terbaharu sidang DUN itu ditetapkan pada 21 hingga 23 September selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.- Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang sepatutnya bersidang pada 24 hingga 26 Ogos ini telah ditangguhkan ke bulan September.
Speaker DUN, Datuk Kadzim M Yahya berkata, tarikh terbaharu sidang DUN itu ditetapkan pada 21 hingga 23 September selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
"Bahawasanya, Fasal (1) Artikel 21 Perlembagaan Negeri Sabah memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sabah boleh dari semasa ke semasa memanggil Dewan Undangan Negeri bersidang.
"Dan bahawasanya DUN Sabah melalui Pengisytiharan yang bertarikh 29 Julai 2021 telah dipanggil untuk mengadakan sidangnya pada 24, 25 dan 26 Ogos 2021 dan bahawasanya keadaan kini mengkehendaki supaya sidang tersebut diadakan pada 21, 22 dan 23 September 2021," katanya dalam Warta Kerajaan Keluaran Khas pada Khamis
Jelasnya dengan itu pengisytiharan bertarikh 29 Julai 2021 sebelum ini adalah dengan ini dipinda.
"Dikeluarkan dengan tandatangan saya dan Mohor Kerajaan Negeri Sabah pada hari ini, 17 Ogos 2021," katanya lagi.
#Sabah #DUN Sabah #Speaker DUN Sabah #Kadzim M Yahya #Politik Malaysia #Perlembagaan Negeri Sabah
;