Sidang DUN Perak dipendekkan tiga hari- Speaker

Aida Aziz
Mac 25, 2022 14:16 MYT
Mohammad Zahir bercakap kepada media sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 kali ini akan dipendekkan kepada tiga hari, meskipun mengikut perancangan asal banyak isu yang perlu dibincangkan.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata keputusan itu dibuat susulan negara masih berdepan dengan pandemik, selain menerima nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, persidangan itu akan bermula pada Isnin hingga Rabu iaitu 28 hingga 30 Mac ini.
"Asalnya kita nak buat panjang (hari sidang DUN), tetapi disebabkan dapat nasihat daripada MKN dan KKM, maka kita buat tiga hari saja.
"Sebenarnya banyak agenda dan undang-undang lain yang hendak dibawa, kita buat tiga hari saja untuk kali ini. Kemudian InsyaAllah kalau kerajaan berkehendak (lanjutkan) nanti mungkin lepas raya jika ada urusan lain," katanya.
Mohammad Zahir berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Dewan Negeri Muhammad Nazri Abdullah.
Katanya, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijadual menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan itu pada 28 Mac, yang akan berlangsung kira-kira jam 10 pagi tanpa acara perbarisan.
"Sultan Perak telah berkenan untuk mencemar duli, berangkat ke istiadat pembukaan rasmi tersebut dan akan menzahirkan titah Diraja.
"Untuk makluman, sesi soalan lisan akan berlangsung pada persidangan kedua dan persidangan ketiga. Tempoh sesi soalan lisan adalah selama satu jam," katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya jika ada usul tergempar pada sidang DUN kali ini, beliau berkata tiada selain memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah mendapatkan dos vaksin lengkap.
"Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar.
"Seramai 20 orang ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan Usul tersebut iaitu, sembilan orang Ahli Yang Berhormat Kerajaan termasuk penyokong kerajaan.
"10 orang Ahli Yang Berhormat Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang; dan seorang Ahli Yang Berhormat Bebas," katanya.
Tambahnya, semua pihak diwajibkan menjalani ujian pantas (RTK) antigen air liur pada waktu pagi, setiap hari persidangan di Dewan Bankuet,dan perlu disahkan negatif sebelum dibenarkan masuk ke dalam Dewan Negeri.
Seperti sebelum ini, beliau berkata, istiadat pembukaan dan persidangan DUN Perak boleh diikuti secara langsung menerusi saluran YouTube DUN Perak.
Katanya, pautan penstriman langsung tersebut akan dipaparkan melalui portal dan laman Facebook rasmi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan; sepanjang hari persidangan tersebut.
#DUN Perak #sidang dipendekkan #Speaker DUN Perak #Mohammad Zahir Abdul Khalid
;