Sidang DUN Melaka kecoh gara-gara peribahasa 'UMNO mati'
Shuhada Abdul Kadir
Julai 16, 2019 15:51 MYT
Julai 16, 2019 15:51 MYT
Persidangan kedua penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Melaka hari ini kecoh seketika apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee menggunakan frasa "UMNO mati" dalam peribahasanya.
Pertikaman lidah dengan wakil rakyat pembangkang tercetus apabila Norhizam mengubah suai peribahasa dengan menyebut "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, dan UMNO mati meninggalkan hutang."
Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri menggunakan peribahasa berkenaan ketika menjawab soalan tambahan ADUN Klebang, Gue Teck yang bertanyakan kenapa kerajaan negeri mengurangkan elaun bantuan sara hidup kepada nelayan daripada RM300 kepada RM200.
Suasana menjadi kecoh apabila beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron lantas bangun dan mendesak supaya Norhizam menarik balik frasa berkenaan.
Namun, wakil rakyat DAP itu bertegas enggan berbuat demikian.
Suasana bertambah kecoh apabila Idris yang juga Ketua Pembangkang menggelarkan Norhizam sebagai "bodoh".
Susulan kekecohan itu, sesi persidangan itu ditangguhkan Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar selama dua minit untuk mententeramkan keadaan.
#ADUN Klebang
#elaun bantuan sara hidup
#Gue Teck
#Harimau mati
#idris haron
#Norhizam Hassan Baktee
#peribahasa
#pertikaman lidah
#UMNO mati