Sidang DUN Kelantan akan dirasmikan tanpa keberangkatan Sultan Muhammad V

Bernama
Julai 28, 2021 16:35 MYT
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membentangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Hudud, Qisas dan Takzir dalam Sidang DUN Kelantan di Kota Darul Naim. - fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual pada 23 Ogos ini akan dirasmikan tanpa keberangkatan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub berkata keadaan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini tidak mengizinkan keberangkatan baginda untuk menyempurnakan pembukaan sidang DUN itu.
Beliau berkata perasmian berkenaan akan dimulakan dengan Titah Ucapan Diraja yang dibacakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.
"Berikutan suasana pandemik COVID-19 ketika ini, maka baginda (Sultan Muhammad V) tidak akan berangkat bagi istiadat pembukaan sidang DUN. Oleh itu, titah ucapan baginda akan diwakilkan Menteri Besar untuk perasmian," katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata persidangan DUN berkenaan yang berlangsung secara bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung COVID-19, diteruskan dengan ahli-ahli DUN membahaskan Titah Ucapan Diraja.
Dalam pada itu, beliau berkata dua rang undang-undang (RUU) baharu dijangka diluluskan pada persidangan itu.
Ditanya mengenai dua RUU berkenaan, beliau berkata: "Saya tidak boleh sebut lagi perkara itu".
Persidangan DUN Kelantan dijadualkan bermula 23 hingga 25 Ogos ini.
Kali terakhir DUN Kelantan bersidang ialah pada 13 April 2020 dan hanya selama 45 minit susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
-- BERNAMA
#COVID-19 #pembukaan sidang DUN Kelantan #Abdullah Ya'kub #Titah Ucapan Diraja #Ahmad Yaakob
;