Sidang DUN Johor tangguh ke 22 Ogos
Astro Awani
Ogos 12, 2021 11:45 MYT
Ogos 12, 2021 11:45 MYT
ISKANDAR PUTERI: Persidangan Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ditangguhkan ke 22 Ogos depan untuk melakukan penilaian terhadap risiko penularan pandemik COVID-19.
Sebelum itu, pengumuman penangguhan dibuat oleh Speaker DUN Johor Suhaizan Kayat.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, ketika ini Speaker DUN Johor sedang memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebagaimana yang telah dinasihatkan oleh Sultan Johor di atas penilaian risiko yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi mengekang wabak COVID-19, maka di bawah Peraturan Tetap Bilangan 7(3) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap bagi Dewan Negeri Johor.
“Saya tangguhkan mesyuarat ini sehingga hari Ahad, 22 Ogos 2021, pukul 9.30 pagi,” katanya ketika berucap selepas titah Pembukaan Persidangan Penggal Keempat oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sini, hari ini.
Beliau berkata, persidangan DUN Johor tidak perlu dibuat secara hibrid kerana keluasan DUN dapat memastikan penjarakan sosial di antara 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menghadirinya.
"Apabila Dewan ditangguhkan ke Ahad depan, perlu ada peningkatan dalam pematuhan SOP. Untuk tujuan itu, Dewan perlu berehat dalam tempoh seminggu agar segala keperluan dapat dipenuhi. Kita juga akan membentuk satu gelembung (bubble) bagi ADUN untuk berada di satu lokasi yang lebih selamat daripada sebarang kemungkinan untuk mengelakkan daripada berlakunya contact rapat dengan mana-mana pihak," tambahnya.
Menurutnya lagi, peningkatan pematuhan SOP termasuk pemasangan penghadang cermin lutsinar, bilangan yang boleh hadir, tempoh dan masa persidangan dan kaedah sebelum hadir ke Dewan dan sewaktu persidangan.
Sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika Baginda merasmikan DUN Sidang Johor mengingatkan semua ADUN agar tidak mencemar kemuliaan Dewan dengan perangai buruk masing-masing.
Baginda turut bertitah, Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir ke persidangan hari pertama DUN Johor, yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Muhyiddin, yang pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 dari 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang, tiba kira-kira jam 9.30 pagi.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (BERSATU-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (BERSATU-Bukit Kepong).