Sidang Dewan Rakyat sehari tidak demokratik - Tun Mahathir
Hakim Rahman
Mei 9, 2020 17:56 MYT
Mei 9, 2020 17:56 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan demokrasi di negara ini semakin terhakis selepas Dewan Rakyat hanya dijadualkan bersidang selama sehari pada 18 Mei nanti.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut mendakwa tindakan itu sebagai separa diktator itu dan dilakukan bagi mengelakkan pertikaian jawatan Perdana Menteri.
"Kalau kita dapati dalam Mesyuarat Dewan tidak ada sokongan majoriti bermakna dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak berhak jadi perdana menteri, untuk elak daripada itu, dia tidak benarkan kita mesyuarat dan buat mesyuarat satu hari saja, tidak bagi bawa usul.
"Maka ini menyekat demokrasi, biasanya kalau seseorang itu dilantik sebagai perdana menteri dia dilantik oleh Raja yang percaya bahawa dia mempunyai sokongan majoriti wakil rakyat," kata Tun Mahathir dalam satu petikan video berdurasi 15 minit yang disiarkan sempena ulang tahun kedua Pakatan Harapan menumpaskan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Sebelum ini yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan istiadat pembukaan Parlimen dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini.
Pada awalnya, sidang Dewan Rakyat dijadualkan dari 9 Mac hingga 16 April dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 dijadualkan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
#Barisan Nasional
#Dewan Rakyat
#kerajaan
#Langkawi
#Mahathir Mohamad
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU-14
#video
#Yang di-Pertuan Agong