Sidang Dewan Rakyat bermula jam 2 petang satu cadangan yang baik - Nazri
Irwan Muhammad Zain
Disember 21, 2022 15:40 MYT
Disember 21, 2022 15:40 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan cadangan agar sidang Dewan Rakyat penggal akan datang bermula pukul 2 petang sebagai satu cadangan yang baik.
Hujah Nazri, cadangan itu membolehkan pegawai-pegawai Kerajaan dan Parlimen menyelesaikan segala urusan berkaitan perkara yang berbangkit di Dewan Rakyat di sebelah pagi.
"Saya bersetuju sepenuhnya dengan cadangan ini kerana setiap kali Dewan Rakyat bersidang, ia akan selesai pada sebelah malam.
"Jadi sekiranya Dewan Rakyat bersidang pukul 2 petang ia memberi masa kepada pegawai-pegawai kerajaan menyelesaikan kerja-kerja akibat sidang yang sering selesai lambat.
"Ia juga memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk menyelesaikan segala urusan mereka pada sebelah pagi dan tidak patut timbul isu tidak dapat hadir ke Parlimen kerana ada urusan lain.
"Soal untuk memberi ruang Menteri buat kerja itu juga betul tetapi Menteri perlu bekerja setiap masa bukan hanya waktu pagi.
"Cuma ahli-ahli Parlimen tidak boleh komplen kalau sidang selesai lewat malam kerana perkara ini mereka juga yang memintanya," katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Menurut Mohamed Nazri yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Undang-undang, sidang Dewan Rakyat boleh selesai awal sekiranya ahli-ahli Parlimen mematuhi peraturan mesyuarat.
Jelas beliau, ada masanya sesi perbahasan berlarutan akibat sikap sesetengah ahli-ahli parlimen yang menyebabkan persidangan terganggu.
"Ada masanya ahli-ahli Parlimen itu sendiri yang menyebabkan masa persidangan berlarutan kerana perbahasan sering diganggu.
"Ada ahli Parlimen yang suka bangun mencelah walaupun tidak ada isu berbangkit, bangun mencelah semata-mata nak ganggu perbahasan orang lain.
"Jadi ahli-ahli Parlimen juga kena belajar adab-adab ketika dalam Dewan Rakyat, jangan jadikan ia gelanggang sarkas," katanya lagi.
Sebelum ini, Bernama melaporkan, ahli-ahli Parlimen telah mengemukakan cadangan termasuk memulakan waktu mesyuarat persidangan Dewan Rakyat pada 2 petang berbanding 10 pagi seperti yang diamalkan sekarang.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, cadangan yang dikemukakan kepadanya itu dibuat untuk mentransformasi perjalanan sidang parlimen bagi membolehkan jemaah menteri menjalankan urusan pentadbiran masing-masing sebelum hadir ke Dewan Rakyat.
Cadangan lain yang turut diterima, katanya, adalah untuk menambah hari persidangan kepada 100 hingga 110 hari, selain melonggarkan etika pakaian di dalam Dewan Rakyat seperti tidak perlu memakai tali leher.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz
#Sidang Dewan Rakyat
#bekas Ahli Parlimen Padang Rengas
#Ahli-ahli Parlimen