Siapa sasaran sebenar manifesto Pas? BN, PH, atau rakyat?
Firdaus Azil
Mac 21, 2018 13:30 MYT
Mac 21, 2018 13:30 MYT
Manifesto yang dilancarkan Gagasan Sejahtera yang diketuai Pas baru-baru ini dikira populis di mata penganalisis politik, namun persoalan sebenarnya adalah sama ia ditujukan kepada golongan pengundi, blok Barisan Nasional (BN), atau pun Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata, berdasarkan kenyataan Pas sebelum ini bahawa mereka mensasarkan sekurang-kurangnya 40 daripada 130 kerusi parlimen yang bakal ditandingi, ada kemungkinan manifesto itu hanya langkah pertama untuk mendapat sokongan undi, sebelum ke peringkat seterusnya.
“Hala tuju Pas dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) ini, pelan hala tuju mereka adalah untuk menjadi penentu kerajaan atau king maker, dan apabila mereka berada di posisi 40 kerusi sasaran, PAS dan Gagasan Sejahtera itu akan menjadi tumpuan mana-mana blok untuk membentuk kerajaan.
“Kerana manifesto itu tidak memberi penjelasan kepada pengundi sama ada PAS mahu membentuk sendiri kerajaan atas platform Gagasan Sejahtera, atau mungkinkah ia akan ditawarkan kepada mana-mana blok sekiranya mereka memerlukan sokongan yang lebih dalam menentukan majoriti parlimen nanti,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Baru-baru ini, gabungan parti politik itu membentangkan 20 tawaran utama dalam manifesto yang dinamakan 'Malaysia Sejahtera', antaranya – menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menstrukturkan semula kadar bayaran tol, dan mewujudkan kerajaan bebas rasuah.
Pengerusi Gagasan Sejahtera yang juga Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tawaran yang digariskan ini mampu menarik sokongan rakyat kerana ia mengambil kira keperluan mereka pada masa kini tanpa mengira kaum dan agama.
Menganggap ada di antara 20 tawaran itu populis dan ‘berani’, Hisommudin berkata ia mungkin sukar dicapai kerana kaedah pelaksanaan masih kabur tanpa disokong penjelasan terperinci.
Ditanya sama ada Pas itu sendiri masih relevan di arena politik masa kini, beliau berpendapat, adalah menjadi elemen demokrasi untuk menghormati mana-mana pihak yang ingin bertanding dalam pilihan raya umum kelak, tetapi dari segi data yang diperolehi, parti itu sendiri berada dalam keadaan kritikal.
“Sekiranya pengundi menolak Pas sewaktu PRU nanti, maka manifesto ini tidak ada sebarang kesan dalam usaha Gagasan Sejahtera memberi tekanan kepada mana-mana di antara dua blok yang akan membentuk kerajaan nanti,” katanya lagi.
#Abdul Hadi Awang
#Astro Awani
#Barisan Nasional
#GST
#Malaysia Memilih
#Manifesto
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya umum
#politik
#PRU14