"Siapa nak jadi Ketua Menteri, silakan" - Sulaiman
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 2, 2021 11:12 MYT
Oktober 2, 2021 11:12 MYT
JASIN: “Kalau siapa hendak jadi Ketua Menteri, datang lah jumpa pihak kepimpinan,” tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Sambil menyifatkan kemelut yang berlaku di negeri itu ketika ini sebagai perkara biasa dalam dunia politik ujarnya, khabar angin itu tidak sedikit pun menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, beliau bersama barisan Exco kerajaan negeri masih memimpin dan menguruskan Melaka seperti biasa.
“Ini adalah perkara biasa dalam dunia politik ataupun kancah politik. Tetapi apapun selagi saya terus diberi mandat oleh kerajaan sedia ada untuk memimpin dan menguruskan Melaka ini, saya akan berjalan seperti biasa, dan apabila diminta turun, saya akan turun lah.
“Sama ada usaha untuk menggugat perjalanan kerajaan negeri itu terarah kepada kebaikan atau untuk kepentingan, saya tidak peduli. Dalam dunia politik itu normal,” katanya selepas mengadakan lawatan di Dewan Datuk Ibrahim Oxford, di sini pada Sabtu.
Terdahulu, spekulasi bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN itu sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).
Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Dalam pada itu, mengulas cakap-cakap politik kononnya PH mempunyai cukup SD untuk membentuk kerajaan negeri baharu dan salah seorang daripada ADUN yang ‘melompat’ akan dicalonkan sebagai Ketua Menteri, Sulaiman enggan ambil pusing dakwaan berkenaan.
“Siapa hendak jadi ketua menteri datanglah, boleh jumpa pihak kepimpinan, Itu sahaja. Kalau SD sudah cukup 20 ke sekalipun, silakan.
“Saya lebih fikir masalah rakyat, saya tidak mahu bercakap soal politik kerana rakyat akan menilai dan menghukum kita apabila tiba masanya. Sampai masa nanti kita berperanglah dalam Pilihanraya Umum (PRU),” tegasnya.
[TERKINI] Spekulasi politik Melaka, adakah bakal berlaku pertukaran kerajaan?
Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.