Siapa lagi mahu tinggalkan UMNO hari ini?

Astro Awani
Disember 14, 2018 10:49 MYT
Teka-teki siapa lagi ahli Parlimen UMNO yang bakal meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Bersatu bakal diketahui seawal petang ini. - Gambar fail
Teka-teki siapa lagi ahli Parlimen UMNO yang bakal meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal diketahui seawal petang ini.
Menurut sumber, empat atau lima ahli Parlimen UMNO yang sudah hampir pasti mengesahkan diri akan membuat pengumuman rasmi termasuk di platform media sosial masing-masing.
"Ada yang menjadi ketua bahagian juga akan melepaskan jawatan dalam masa terdekat ini. Mereka secara lisan sudah 'diterima' untuk masuk Bersatu dan memperkuatkan parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
"Pengumuman itu akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak pengumuman keluar UMNO daripada nama-nama pemimpin besar parti, kamu rasa siapa lagi mahu tinggalkan UMNO hari ini?" katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilaporkan berkata, situasi ramai pemimpin UMNO Sabah keluar parti baru-baru ini didapati tidak mempunyai perkaitan dengan sasaran majoriti dua pertiga Pakatan Harapan (PH), sebaliknya ia berpunca daripada pertembungan dua kuasa dalam bumbung yang sama.
Jelasnya, situasi itu sebenarnya memperlihatkan berlaku pertembungan kuasa di antara Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman itu akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak pengumuman keluar UMNO daripada nama-nama pemimpin
Dalam pada itu, kata sumber itu, antara punca penolakan kepada UMNO kini adalah kerana keengganan desakan dalaman untuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Terdahulu, sumber dalaman UMNO memberitahu Astro AWANI, selepas 13 pemimpin UMNO Sabah mengumumkan keluar parti pada Rabu, usaha untuk mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan sedang giat dijalankan.
Jelas sumber berkenaan, kempen mendesak Zahid melepaskan jawatan ini sedang giat dijalankan di peringkat akar umbi dan didalangi seorang ahli Parlimen parti itu.
Menurut sumber tersebut, tekanan diberikan kepada Zahid dengan berbagai cara antaranya menolak idea bekerjasama dengan DAP dan PKR serta tindakan pemimpin UMNO keluar parti.
BACA: Di mana logik Ahmad Zahid mahu bersama DAP?
BACA: 'Masuk Bersatu pun kerjasama dengan DAP'
Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Masrizal Muhammad meminta ahli UMNO memberi sedikit ruang kepada Ahmad Zahid untuk menyusun semula parti seperti mandat yang diberikan perwakilan sehingga 2021.
Katanya, ia sekali gus usaha Presiden UMNO itu mengorak langkah bagi memacu semula parti dalam misi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
#Anwar Ibrahim #Asyraf Wajdi Dusuki #DAP #Mahathir Mohamad #PKR #PPBM #UMNO #Zahid Hamidi
;