'Siapa bilang Sabah tak membangun?'
Ruzaini Zulkepli
April 4, 2018 13:46 MYT
April 4, 2018 13:46 MYT
'Penghinaan' Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Sabah dan Sarawak dianggap sebagai satu 'sandiwara politik', kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Katanya, kenyataan terbaharu yang dilontarkan mantan perdana menteri itu terhadap pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang didakwa 'malas' menyebabkan pembangunan di kedua-dua negeri tidak berjalan dengan baik, merupakan satu penghinaan besar buat rakyat di negeri tersebut.
"Menteri-menteri di negeri ini proaktif membuat kerja bagi memajukan industri dan pembangunan untuk negeri ini.
"Kenapa beliau (Dr Mahathir) cakap Sabah tidak membangun? Siapa bilang Sabah tidak membangun? Perkataan 'malas' itu saya rasa akan membangkitkan lagi kemarahan orang Sabah terhadap beliau.
"Barangkali Tun Mahathir sudah tidak tahu apa yang terjadi di dalam Kerajaan Negeri Sabah. Bagi saya itu hanyalah satu gimik politik untuk menaikkan kemarahan orang Sabah untuk menentang Barisan Nasional (BN) di negeri ini," katanya.
Jainab berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Skim Bantuan Khas Yayasan Sabah di SK Unggun, Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul; Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, dan Penolong Pengarah (Rawatan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Albert Tan.
Baru-baru ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam satu forum 'Cabaran Ekonomi Anak Muda' yang diadakan di ibu negara, mendakwa pembangunan Sabah dan Sarawak ketinggalan berbanding Semenanjung kerana sifat tamak pemimpin yang mementingkan diri sendiri.
Sementara itu, Jainab yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai turut menggesa agar masyarakat di negeri ini tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang dalam menumbangkan kerajaan.
"Pemimpin di negeri ini bekerja kuat untuk rakyat dan kita akui banyak perkara yang akan dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini.
"Pembangkang hanya tahu berjanji bulan dan bintang namun untuk melaksanakannya ibarat jauh api dari panggang.
"Oleh itu saya menyeru agar kita semua bekerjasama untuk membangunkan negeri kita dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada," katanya.
Pada majlis itu, seramai 106 murid SK Unggun menerima bantuan khas peralatan sekolah yang disumbangkan oleh Yayasan Sabah bagi membantu murid-murid keciciran dalam kawasan luar bandar.
Terdahulu, Jainab turut memperuntukkan RM3,000 bagi pengurusan sekolah untuk menganjurkan program-program yang memanfaatkan murid selain menyumbangkan satu set PA sistem.
SK Unggun merupakan antara sekolah di Sabah yang menerima bantuan menaik taraf bangunan sekolah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti diumumkan dalam Bajet 2018, bernilai RM1 billion untuk sekolah-sekolah daif di negeri ini.
#Barisan Nasional
#berita politik
#Dr Mahathir
#Jainab Ahmad Ayid
#Mahathir Mohamad
#pemimpin Sabah
#PRU14
#Sabah
#Tun Mahathir