Shaid mohon duduk di sidang DUN bersama pembangkang
Astro Awani
Oktober 23, 2019 21:30 MYT
Oktober 23, 2019 21:30 MYT
Mohd Shaid Rosli pada Rabu memohon pertukaran tempat duduk bersama barisan pembangkang pada sesi Dewan Mesyuarat ketiga, Penggal kedua, Dewan Negeri Selangor yang dijadual bermula pada 1 November depan.
Tegas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeram itu, permohonan pertukaran tempat duduk berkenaan sebagai tanda protes terhadap Ronnie Liu yang tidak menghormati kepimpinan Pakatan Harapan (PH) selaku kerajaan yang memerintah Selangor
“Surat permohonan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim sudah dihantar tadi sebagai tanda protes terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu.
“Apa yang dilakukan sangat keterlaluan dan sudah melampaui batas yang mana perkara ini boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti di dalam PH,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Pada Selasa, Shaid mencabar Ronnie dan kepimpinan tertinggi DAP untuk membawa satu usul untuk membuang Bersatu dari komponen PH di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang
Tegasnya, Ronnie dipercayai masih berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan masih terbawa-bawa sifat sebenar DAP iaitu rasis dalam mengeluarkan kenyataan.
Ronnie menerusi laporan sebuah portal berita tempatan pada Selasa mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.
Selain itu, Ronnie turut mendakwa Dr Mahathir mengejar model Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.
#ADUN
#Barisan Nasional
#DAP
#Dewan Undangan Negero
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#protes