Shahrizat bertanding Ketua Wanita UMNO kerana rai demokrasi dalam parti
Saharudin Musthafa
Februari 17, 2023 15:32 MYT
Februari 17, 2023 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Sebagai ahli parti yang setia serta menghormati demokrasi yang diamalkan dalam UMNO mendorong Tan Sri Shahrizat Jalil membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan bulan depan.
Kata Shahrizat, sesiapa sahaja dalam UMNO bebas untuk mencalonkan nama mereka dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan.
Justeru, menyedari di bahu Wanita UMNO memikul tugas dan tanggungjawab sebagai penyatu dan penyelamat parti membuatkan Shahrizat tidak berfikir panjang untuk mencuba nasib dalam pemilihan kali ini.
“Kita semua ahli UMNO, jadi tidak ada masalah dengan demokrasi, ada pertandingan kita cuba nasib. Semuanya bertitik tolak pada matlamat kita.
“Saya secara peribadi membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO kerana melihat landskap politik hari ini amat mencabar dan Wanita UMNO mesti main peranan dan tidak boleh terkebelakang serta mesti kekal relevan dalam arena politik,” kata Shahrizat kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.
Shahrizat yang pernah menerajui Ketua Wanita UMNO selama sembilan tahun sejak 2009 menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan nombor satu sayap itu, hari ini.
Borang pencalonan Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah dihantar dan diterima urusetia pemilihan pada pukul 11.20 pagi tadi oleh wakil beliau.
Pada Pemilihan UMNO bulan depan, Shahrizat dijangka bertembung dengan penyandang jawatan Ketua Wanita UMNO, iaitu Datuk Seri Noraini Ahmad.
Menurut bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, dalam apa situasi dan masa sekalipun, Wanita UMNO sangat relevan dan perlu sentiasa diperkasakan.
Ini adalah kerana, jelas Shahrizat, Wanita UMNO dibarisi oleh ahli-ahli yang setia terhadap parti serta memiliki rasa kebersamaan dalam setiap masa dan ketika.
“Landskap politi hari ini amat mencabar dan Wanita UMNO mesti main peranan dan tidak boleh terkebelakang dan mesti kekal relevan dalam arena politik.
“Ramuan Wanita UMNO sangat cantik dibarisi mereka yang berpengalaman, masih muda, bijak dan setia pada parti. Justeru, saya mahu kembali mengajak kesemua mereka memberi sumbangan yang bermakna untuk parti keramat ini,” ujar beliau lagi.