Shahidan adakan sidang media, jelaskan pendirian politik

Astro Awani
April 24, 2021 21:11 MYT
Shahidan yang tewas pada pemilihan UMNO pada 2018 merupakan antara yang lantang menentang keputusan parti untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bakal mengadakan sidang media pada malam ini.
Menerusi sidang media yang dijadualkan itu, Shahidan dijangkakan mengumumkan kerjaya politiknya selepas disingkirkan dari jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah mengumumkan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man menggantikan Shahidan bagi jawatan pengerusi perhubungan parti itu di Perlis.
Shahidan yang tewas pada pemilihan UMNO pada 2018 merupakan antara yang lantang menentang keputusan parti untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
BACA: Azlan ganti Shahidan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis - Zahid
Malah, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 Mac lalu, dia juga "diboo" perwakilan ketika berucap ekoran pendiriannya itu.
Pada 10 April lalu, Shahidan juga dilaporkan mendesak Ahmad Zahid supaya memberi penjelasan berhubung satu rakaman audio yang tular mengaitkannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Shahidan dijangka mengadakan sidang media pukul 9.45 malam ini bagi menjelaskan pendirian beliau dan kedudukannya dalam UMNO.
#Shahidan Kassim #UMNO #Perlis #Zahid Hamidi #Azlan Man #pengerusi #perhubungan #disingkirkan
;