Shafie tempelak pihak pertikai usaha memperjuang hak Sabah
Ruzaini Zulkepli
Januari 5, 2020 23:20 MYT
Januari 5, 2020 23:20 MYT
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menempelak pihak pembangkang yang menafikan kelantangan parti itu untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah.
Beliau berkata, kelantangan terbabit dipesongkan oleh pihak lawan yang mendakwa Warisan menolak parti dari Semenanjung meskipun 'mereka' tahu pihaknya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara.
"Dalam kita menumbangkan BN dan UMNO dalam PRU yang lalu, tidak mungkin negeri Sabah tidak tumbangkan sendiri sahaja, tapi ada kerjasama dengan rakan kita di Semenanjung, rakan kita di Semenanjung iaitu Pakatan Harapan.
"Kita berpakat, maknanya Pakatan Harapan bekerjasama dengan Warisan dan UPKO di Sabah, tujuannya untuk mentadbir negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merujuk kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam siaran media pada petang Ahad.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu dalam kenyataannya di Bongawan meminta semua jemaah menteri Kabinet yang dianggotai ahli-ahli Parlimen Warisan perlu meletakkan jawatan kerana bersikap menolak parti dari Semenanjung.
Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Shafie ketika ditemui dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Kampung Laut, Bongawan, pada Ahad malam turut menambah, pihaknya tetap komited dalam memperjuangkan isu melibatkan rakyat Sabah.
Ini termasuklah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tanpa membelakangkan kerjasama dengan PH.
"Tidak bererti bila kita lantang menyuarakan hak Sabah, kepentingan Sabah untuk rakyat Sabah kita perlu letaklah jawatan, ada orang kata kalau kita suarakan tentang kepentingan Sabah kita letaklah jawatan.
"Kalau macam itu, letaklah jawatan semua yang menyokong UMNO itu pasal kalau kita dengar kata mereka, mereka akan membela, mereka perlu kuasa, perlu autonomi autonomi apa yang kita mahu dari UMNO , sudah 50 tahun autonomi?" katanya.
#hak sabah
#Khairy Jamaluddin
#Kimanis Memilih
#Mohd Shafie Apdal
#pilihan raya kecil
#PRK Kimanis
#Semenanjung
#Warisan