Shafie pertahan keputusan bubar DUN Sabah, sanggup 'mati'di gelanggang politik

Hasimi Muhamad
November 16, 2020 13:58 MYT
Shafie berkata kes COVID-19 di Sabah berada dalam keadaan terkawal sebelum ini selepas banyak kawasan berada dalam Zon Hijau. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan keputusannya mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau lebih sanggup 'mati' di gelanggang politik berbanding menyerahkan kuasa kepada pihak yang cuba menganggu-gugat pentadbiran kerajaan Negeri, ketika itu.
"Saya nyatakan, (saya) hairan dengan rakan lama saya dari Pekan (Datuk Seri Najib Razak) dendam kesumat dia, saya tidak tahu mungkin kerana saya membangkitkan mengenai isu 1MDB, (Najib) membangkitkan saya sanggup mati kerana COVID-19.
"Saya bukan sanggup mati oleh kerana COVID-19, saya nyatakan tak nak menyerahkan kuasa kepada pihak yang bergantung kepada 'cash is king' kerana purchasing power mereka nak membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
"(Jadi daripada) nak serah kuasa, baik saya 'mati' dalam gelanggang politik bukan mati kerana COVID-19.
"Mati dalam gelanggang politik kerana kita serahkan kepada rakyat. Kalau rakyat menentukan siapa berkuasa, keadaan ini kena terima kerana kita sedar yang berkuasa sepatutnya bukan Pas, bukan UMNO," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) bertanya apakah beliau kesal kerana mencadangkan pembubaran DUN bagi mengadakan PRN Sabah sehingga membawa peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
Mengulas lanjut, Shafie berkata kes COVID-19 di Sabah berada dalam keadaan terkawal sebelum ini selepas banyak kawasan berada dalam Zon Hijau.
Bagaimanapun dakwanya, peningkatan kes berlaku selepas pihak berkaitan mahu merampas kuasa kerajaan Negeri.
Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi, membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah, selepas memenangi 38 kerusi dalam PRN Sabah.
#Shafie Apdal #Najib Razak #Ketua Menteri #UMNO #Dewan Rakyat #Mohd Shafie Apdal #PRN Sabah #bekas Ketua Menteri Sabah #COVID-19 #DUN Sabah
;