Shafee Abdullah tidak layak ketuai AICHR - Pakatan Rakyat

Irwan Muhammad Zain
Februari 16, 2015 10:12 MYT
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah digesa meletak jawatan daripada mengetuai AICHR. - Astro AWANI/Shahir Omar
Pakatan Rakyat menggesa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meletak jawatan daripada mengetuai ASEAN Intergovernmental Commission on Human Right (AICHR).
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menegaskan, Shafee - yang sering dikaitkan dengan Umno - tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik kerana sering mewakili sebuah parti yang melanggar hak asasi manusia.
"Bagaimana kita dapat harap Muhammad Shafee untuk menonjol dalam AICHR apabila secara prinsipnya sebagai contoh,
"Parti pemerintah diketuai UMNO, adalah pembela paling teruk terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Malaysia?
"Selain itu, selepas 58 tahun merdeka, kerajaan kita menarik diri daripada menandatangani konvensyen utama hak asasi PBB, seperti konvensyen hak sivil dan politik PBB.
"Dengan rekod buruk kerajaan dalam membela hak asasi dan hak kemanusiaan dalam negara, kami tidak jangkakan Muhammad Shafee akan menonjol," katanya dalam satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, hari ini.
Selain Dr Hatta, sidang media itu turut disertai Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hisao Leung daripada PKR, dan ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng daripada DAP.
Muhammad Shafee dikatakan mengetuai mesyuarat AICHR kali ke-17 pada 11 Februari, sehari selepas Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan meliwat.
Beliau memegang jawatan itu apabila Malaysia mempengerusikan Asean tahun ini dan sebelum ini peguam kanan itu merupakan wakil AICHR Malaysia sejak tahun 2009 hingga hujung tahun ini.
#AICHR #Dr Hatta Ramli #gooi hisao leung #Lim Lip Eng #muhammd shafee abdullah