SG4: 'Salahkah belajar daripada individu hebat seperti Tun Mahathir'? - Ahmad Samsuri

Sinar Harian
September 18, 2023 11:09 MYT
Sebelum ini Ahmad Samsuri menyatakan empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali SG4 bersama Dr Mahathir. - Gambar fail/Bernama
KUALA NERUS: Adakah salah mengambil ilmu daripada individu yang mempunyai pencapaian tertentu?, tanya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri menafikan bahawa pembentukan kerjasama dikenali sebagai 'State-Government 4' (SG4) dilihat seperti mahu memusuhi kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, ketika pertemuan pertama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kakitangan kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak pernah sesekali menyentuh soal politik semasa berucap pada program tersebut.
"Ia hanya menyentuh soal pentadbiran bagaimana meningkatkan kecekapan dan tidakkah kita ingat sepanjang tempoh pemerintahan diterajui Tun M sebelum ini telah menunjukkan pencapaian yang tertentu. Jadi adakah salah bagi kami untuk ambil ilmu daripada individu yang telah meraih pencapaian tertentu tersebut.
"Selain itu, kerajaan Terengganu pada 2018 juga telah lantik (penasihat tak rasmi) Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor iaitu sebuah negeri yang maju dalam membantu Terengganu untuk melonjakkan ekonomi dan pelbagai perkara.
"Jadi saya tak faham (isu lantik Tun M penasihat tak rasmi). Mungkin (jadi isu) atas dengki atau iri hati oleh pihak tertentu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan, Bandar Al-Wathiqu Billah di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyatakan tidak timbul isu berhubung tidak menghormati kerajaan persekutuan susulan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat masih berjalan dengan baik.
"Di mana soal tidak hormati itu? Itu saya tak faham kerana apa kita laksanakan adalah cari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi dan laporan serta perkara berkaitan di negeri yang ditadbir oleh empat negeri ini.
"Pada peringkat ini kita sedang bekerjasama dengan erat bersama kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian malah di peringkat Projek Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL), kerjasama erat terjalin antara kerajaan negeri dengan agensi di bawah kerajaan persekutuan selain kami sentiasa bermesyuarat.
"Saya pun baru pada minggu lepas mesyuarat mengenai ECRL. Jadi tak timbul kenapa dan di mana isu tidak hormati berkenaan kerana saya percaya untuk capai pada satu tempat maka kita harus guna pelbagai cara asalkan objektif dapat dicapai dalam masa singkat," jelasnya.
Pada 14 September lepas Ahmad Samsuri menyatakan empat negeri bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bersetuju mewujudkan kerjasama dikenali SG4 bersama Dr Mahathir.
Katanya, Mahathir akan memainkan peranan secara tidak rasmi terutama dalam menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea.
Pada Ahad lepas, sebuah media tempatan melaporkan pembentukan satu S4 yang ditadbir oleh PN dilihat seperti mahu memusuhi Kerajaan Persekutuan.
Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Mazlan Ali berkata, dengan memilih Dr Mahathir sebagai penasihat, ia akan membawa mesej tidak baik antara negeri-negeri pembangkang dan kerajaan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Tun Mahathir #SG4 #Ahmad Samsuri Mokhtar #penasihat tidak rasmi