Setiausaha AMK Selangor letak jawatan

Sinar Harian
Julai 27, 2018 11:36 MYT
SYED BADLI SHAH: Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam PKR Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri. - Facebook Syed Badli Shah Syed Osman
Setiausaha AMK Selangor, Syed Badli Shah Syed Osman mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam kepimpinan negeri ini.
Ia berikutan beliau mendakwa kesuburan demokrasi telah mati dalam PKR Selangor.
Dalam satu kenyataan, Syed Badli berkata, PKR sepatutnya membawa wadah perjuangan reformasi.
Namun dakwanya terdapat segelintir pemimpin PKR Selangor merosakkan parti dengan amalan budaya kronisme dan nepotisme.
“Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang jadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha kekal pengaruh dan kuasa.
"Secara jelas jawatan-jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang tunjuk taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi ikut sistem merit.
“Dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya, kelulusan, kebolehan, pengalaman dan sumbangan kepada perjuangan harus menjadi kriteria penting namun apa yang berlaku sebaliknya, hierarki parti tidak lagi dihormati,” katanya.
Walaupun terdapat nama-nama yang sekian lama berjuang dan dicadang secara rasmi dari peringkat cabang, mereka yang tidak sependapat akan diketepikan, katanya.
Tambahnya, sikap pentingkan kroni semakin parah dalam usaha pembahagian jawatan politik apabila hanya pengikut kabilah tertentu yang akan diberikan habuan dari segi jawatan.
Dasar Reformasi dan Keadilan juga katanya jelas menghilang dengan cara yang diamalkan segelintir pemimpin.
Sikap kuku besi juga dakwanya terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.
“Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam PKR Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri. Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah.
“Justeru, saya dengan ini meletak jawatan berkuat-kuasa serta merta sebagai Setiausaha AMK Selangor kerana menganggap kesuburan demokrasi telah pun mati dalam PKR negeri.
“Saya gesa kepimpinan utama PKR campur tangan dalam isu pembahagian jawatan lantikan politik di Selangor yang jelas kelihatan berat sebelah,” katanya lagi.
#Dasar Reformasi dan Keadilan #demokrasi #jawatan #kepimpinan #kronisme #KUASA #lantikan politik #letak jawatan #mati #merit #nepotisme #pemimpin #pemuda #PKR #politik #Selangor #Syed Badli Shah Syed Osman
;