Setiausaha Agung Bersatu mungkin digantikan, didakwa langgar perlembagaan parti

Hafizi Rosli
Mac 1, 2020 11:27 MYT
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof ketika ditemui media di perkarangan kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkemungkinan akan digantikan kerana didakwa melanggar peraturan dan perlembagaan parti.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, ia berkaitan kenyataan mengelirukan berhubung status jawatan Pengerusi yang didakwa masih dipegang oleh Tun Dr Mahathir Moahamad.
Tegas Datuk Seri Mohd Redzuan, setelah perletakkan jawatan, Tun Dr Mahathir sebagai Pengerusi, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memangku jawatan berkenaan sehingga pemilihan diadakan bagi memilih Pengerusi baharu selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu.
"Kaedah perlembagaan kita dah letak, apabila seseorang itu berhenti atau diberhentikan, boleh kembali mencalonkan diri sebagai Pengerusi dalam proses pemilihan parti.
"Kenyataan oleh Setiausaha Agung berkenaan bagi saya melanggar sedikit sebanyak peraturan dan perlembagaan parti.
"Saya rasa dengan kebijaksanaan Presiden sendiri akan membawa kepada satu kenyataan untuk menggantikan Setiausaha Agung sebelum ada mesyuarat tergempar bagi meredakan keadaan," katanya ketika ditemui media di perkarangan kediaman Tan Sri Muhyiddin, pada Ahad.
[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8
Terdahulu, Marzuki mengeluarkan kenyataan Tun Dr Mahathir adalah satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin Bersatu.
Namun ia dinafikan Tan Sri Muhyiddin yang menjelaskan Tun Dr Mahathir bukan lagi Pengerusi berkuatkuasa 24 Februari 2020 setelah perletakkan jawatannya.
#Bersatu #Mahathir Mohamad #majlis tertinggi #Malaysia 2020 #Malaysia2020 #Marzuki Yahya #Mohd Redzuan Md Yusof #Muhyiddin Yassin #pakatan #pemilihan #PM8 #presiden #redzuan
;