"Setiap negara ASEAN perlu fokus satu industri utama bagi memacu ekonomi perdagangan serantau" - Tun M

Harits Asyraf Hasnan
Mac 7, 2019 12:08 MYT
Saranan agar anggota negara ASEAN sekurang-kurangnya mempunyai satu sektor industri utama itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya negara ASEAN akan berkembang pantas. - foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan anggota negara ASEAN sekurang-kurangnya mempunyai satu sektor industri utama yang bakal memacu ekonomi rantau itu.
Beliau berkata, sekiranya dapat dilaksanakan, inisiatif itu bakal dipacu oleh 600 juta penduduk 10 negara anggota ASEAN itu.
“Jika keempat-empat negara ASEAN ini dapat bekerjasama, kita akan memanfaatkan populasi yang besar kerana kita ada pasaran domestik yang lebih luas.
“Oleh itu, kita perlu pastikan setiap negara ada satu industri utama. Saya pasti dengan berbuat demikian, negara ASEAN akan berkembang pantas dan menjadi entiti perdagangan yang kuat di mata dunia,” ujar Dr Mahathir.
Cadangan itu dikemukakan beliau pada Forum Perniagaan Malaysia-Filipina yang membuka tirai lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik ini.
Turut hadir pada forum tersebut adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.
Hadir sama mewakili Kerajaan Filipina pula ialah Setiausaha Jabatan Perdagangan dan Industri (DTI), Ramon Lopez serta wakil pemain industri, Jose Cuisia Jr selaku Ahli Pemegang Amanah Makati Business Club (MBC).
#ASEAN #Datuk Darell Leiking #Datuk Saifuddin Abdullah #ekonomi #Filipina #Forum Perniagaan Malaysia-Filipina #Mahathir Mohamad #Malaysia #Manila #perdagangan #Perdana Menteri
;