Setiap kementerian perlu buat penilaian impak gerak kerja - Penganalisis politik
Israr Khalid
Disember 10, 2022 08:30 MYT
Disember 10, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik Prof. Madya Sharifah Syahirah Syed Sheikh menyarankan setiap kementerian menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan membuat penilaian impak gerak kerja untuk mengukur pencapaian masing-masing.
Dengan itu, keberkesanan setiap pelan dan tindakan terhadap rakyat dan negara dapat dilihat dan dijadikan panduan untuk memastikan prestasi sesuatu kementerian itu berada pada tahap terbaik.
Tegasnya, ini masa untuk semua anggota Kabinet yang telah dilantik untuk membuktikan keupayaan mereka bekerja selepas dilantik sebagai perwakilan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.
“Saya amat berharap semua menteri dan timbalannya termasuk semua pemimpin negara tunjukkan kepada rakyat, ketepikan sentimen kepartian dan pakailah topi kerajaan.
“Kalau boleh kita tak nak berlaku lagi tukar Perdana Menteri, tukar gabungan kerana ia sesuatu yang kurang baik untuk hala tuju negara,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Jumaat.
Kata beliau, perkara yang paling penting ketika ini adalah bagaimana kerajaan memanfaatkan tempoh sepenggal yang akan datang dengan merencana dan memastikan segala yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilaksana.
Maka perlunya ada penetapan jangka masa pendek, sederhana dan panjang supaya mudah diukur dan dinilai seperti dalam tempoh 100 hari, setahun dan lima tahun.
“Saya amat mengharapkan semua, terutamanya kementerian-kementerian untuk letakkan apa perkara yang telah dibuat, diselesaikan, berapa jumlah rakyat yang telah mendapat keuntungan daripada polisi dan juga gerak kerja yang dijalankan,” katanya.