Setahun Malaysia Baharu: PH diuji, BN insaf - Tengku Putra Haron Aminurrashid

Astro Awani
Mei 9, 2019 07:06 MYT
TENGKU PUTRA: Hari ini, orang Melayu melihat pengaruh politik dan pegangan mereka kepada ekonomi melalui institusi-institusinya sudah mula dikuasai bangsa lain. -Gambar fail
Barisan Nasional (BN) akan menjadi ‘gergasi’ lupa daratan dan susah dikawal untuk tahun mendatang seandainya menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, pembetulan sewajarnya dibuat dan dengan takdir tuhan, pelaksanaannya dikendalikan melalui tangan rakyat.
Jelasnya, walaupun terbukti kini bahawa BN lebih layak dan berwibawa dalam pemerintahan berbanding kerajaan yang sedia ada, namun ramai pemimpin-pemimpin BN dahulu dari berbagai lapisan telah hampir lupa diri dan bersifat riak semasa berkuasa.
“Orang lama berkata, selepas kegelapan ribut petir, cahaya akan bersinar. Di utara Bulatan Artik, kegelapan berlangsung selama beberapa bulan di musim sejuk.
“Di Malaysia, kemurungan mula menggelapi kehidupan rakyat umum masuk bulan keenam Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, tepat setahun yang lalu.
“Ada yang mengatakan ia adalah satu kesilapan, sebaliknya saya berpandangan ia sebagai suatu rahmat dan petanda dari Allah untuk kita semua,” katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
BACA: Cukuplah, hentikan main isu kaum dan agama - Dr Mahathir
BACA: Kerajaan perkenal hala tuju baharu ekonomi negara - Dr Mahathir
Genap setahun Malaysia Baharu pada Khamis, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Persekutuan memperoleh prestasi sebanyak 39.01 peratus dalam pencapaian Janji Kerajaan PH bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019.
Jelas Dr Mahathir, prestasi itu diukur melalui status kemajuan 464 Inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji.
Dalam pada itu, Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata rakyat kini dapat melihat dan sedar bahawa kerajaan sekarang tiada langsung kemampuan untuk memimpin dan memerintah negara yang tercinta ini dengan sempurna.
“Rakyat umum khususnya yang berpendapatan sederhana tinggi ke bawah sudah mula berpaling tadah melainkan mereka yang malu untuk mengaku di atas sebab ketaksuban yang keterlaluan menyokong rejim hari ini dari mula.
“Hari ini, orang Melayu melihat pengaruh politik dan pegangan mereka kepada ekonomi melalui institusi-institusinya sudah mula dikuasai bangsa lain.
“Pihak istana mendakwa telah dimanipulasi atau disesatkan oleh peguam negara berketurunan bukan Melayu. Selain itu, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom hampir-hampir dipaksa ditelan rakyat oleh pemerintah,” tegasnya.
Katanya lagi, ikrar dan janji PH dalam manifesto kempen mereka sebelum ini juga tidak dipenuhi.
Di antaranya jelas Tengku Putra, harga minyak, penghapusan tol dan pinjaman pelajar, yang sangat popular di kalangan pengundi muda.
Ujarnya, cahaya di hujung terowong kini dilihat apabila pemimpin BN mula bertawaduk dan merendahkan diri menjadi hamba kepada rakyat.
“Mereka terus berkhidmat tetapi kali ini sebagai hamba sejati manakala rakyat, iaitu orang Melayu yang menjadi penentu di pilihanraya lepas kini sedar bahawa negara, hak agama dan bangsa mereka wajib diselamatkan.
“Satu saluran sahaja yang membolehkan mereka berbuat demikian iaitu dengan memberi sokongan penuh kepada gagasan BN dan Pas di pilihanraya akan datang. Gabungan ini adalah kesatuan yang serius dan benar.
“Sebuah negara boleh membangun dan dimajukan hanya dalam keadaan yang aman, tetapi apabila dua aspek paling penting dalam Perlembagaan Malaysia diganggu gugat atau diancam, iaitu kedudukan Islam dan hak keistimewaan orang Melayu, maka akan adalah kekacauan perkauman kelak,” ujarnya.
Pada masa itu tegasnya, maksud keamanan sosial yang selama ini dikecapi rakyat berbilang kaum disifatkan hanya dihumban ke dalam tong sampah dan tidak diperdulikan lagi.
“Kehidupan dan kebebasan rakyat Malaysia akan diancam dan pada titik masa demikian, tiada gunanya untuk dikesali lagi. Mohon dijauhkan Allah,” jelasnya.
#9 Mei #Barisan Nasional #Islam #Mahathir Mohamad #Manifesto #Pakatan Harapan #PAS #PRU14 #setahun malaysia baharu #Tengku Putra Haron Aminurrashid
;