Sesiapa sahaja jadi PM nanti, boleh tawar agenda reformasi - Shahril Hamdan

Firdaus Azil
Ogos 14, 2021 12:17 MYT
SHAHRIL: Reformasi dan transformasi memang tidak ada masalah untuk dibincangkan, tetapi bukan sebagai alat atau gula-gula untuk kekal berkuasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tidak ada salahnya membincangkan agenda reformasi dan transformasi, namun ia sama sekali tidak boleh dijadikan sebagai alat atau gula-gula untuk kekal berkuasa, tegas Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, biarpun ada asasnya, tetapi orang akan melihatnya dengan niat dan tujuan yang salah.
Tegasnya, tindakan Kerajaan Perikatan Nasional seolah-olah menggunakan taktik yang sama dengan Pakatan Harapan (PH) dahulu, iaitu mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan terdahulu bila berhadapan dengan masalah dalam pentadbiran.
“Reformasi dan transformasi memang tidak ada masalah nak dibincangkan. Tetapi bukan sebagai alat atau gula-gula untuk kekal berkuasa.
"Undi18 jadi gula-gula, peruntukan saksama Ahli Parlimen jadi gula-gula. Status Ketua Pembangkang jadi gula-gula. Orang yang rasa sebahagian idea ini betul pun tahu niat dan tujuannya sudah tentu salah.
“Apabila sudah terdesak, mulalah jual agenda reformasi, salahkan orang lain dan sebagainya. Sama seperti PH dahulu sewaktu ada masalah dalam pentadbirannya, salahkan pemimpin dahulu.
"Hari ini mereka guna taktik sama,” katanya lagi.
BACA: Kerjasama rentas parti untuk kestabilan sebelum PRU15
BACA: PH tolak 7 tawaran Muhyiddin, yakin boleh beri lebih baik kepada rakyat
Tujuh tawaran Perdana Menteri sekiranya persetujuan bipartisan dicapai
Dalam ucapan khas yang disiarkan semalam, Perdana Menteri menyarankan kerajaan dokongan bipartisan yang inklusif, dengan membayangkan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.
Beliau berkata, muafakat itu bagi membolehkan kerajaan yang ada terus berfungsi mengurus pandemik COVID-19 hingga ke suatu masa yang sesuai.
Namun rata-rata maklum balas pemimpin kanan politik, khususnya dari blok Pembangkang, menolak cadangan itu, dan tegas menyatakan Muhyiddin sudah tiada majoriti dalam Dewan Rakyat untuk membuat tawaran berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, beliau hairan mengapa tawaran itu tidak dibuat sebaik kerajaan baharu ditubuhkan pada Mac tahun lepas.
“Yang disebut-sebut kerosakan yang diwarisi itu sudah tak berkuasa semenjak 2018. Sebelum ini tidak ada pula bercakap tentang reformasi.
"Semasa dalam Kerajaan PH sekalipun, PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tak ada pula nak buat reform ini. Hari ini tiba-tiba macam-macam ditawarkan secara mengejut.
“Pelik juga, dalam perutusan (semalam) tidak ada pula tawaran untuk selesaikan masalah 150,000 laptop PdPR (Pengajaran dan. Pembelajaran di Rumah).
"Tak ada pula tawaran untuk pastikan tiada lagi bendera putih,” tambah Shahril.
#Shahril Hamdan #Ketua Penerangan UMNO #Muhyiddin Yassin #tawaran #reformasi #transformasi #Dewan Rakyat #pembangkang #Parlimen #Perdana Menteri #Pakatan Harapan #COVID-19 #UMNO #PPBM #alat #gula-gula
;