Sesi wacana: Isham Jalil nyatakan hasrat 'berdepan' Tun Mahathir

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 14, 2022 15:28 MYT
Isham berkata, wacana itu mungkin akan dapat mencambahkan pemikiran dan membantu kedua-dua pihak dan rakyat untuk melihat pandangan-pandangan dan penyelesaian dari perspektif dari dua generasi berbeza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan UMNO Selangor Isham Jalil menyatakan hasratnya secara terbuka untuk mengadakan sesi wacana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya hari ini, beliau sedia berdepan dengan bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu pada bila-bila masa untuk menerangkan beberapa isu.
"Bukan untuk berdebat atau berpolitik, tetapi untuk berwacana secara terbuka untuk bincang berkenaan dasar-dasar dan hala tuju negara secara ilmiah dan berhemah. Contohnya berkenaan isu mata wang ringgit yang kian lemah, soal ekonomi, isu rule of law, dan masa depan Malaysia dan cadangan-cadangan penyelesaiannya," menurutnya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, ia berikutan kenyataan yang sentiasa dikeluarkan oleh Dr Mahathir dalam sosial medianya berkenaan beberapa kemelut dan isu kebelakangan ini.
Justeru katanya, adalah lebih baik jika mereka berdua menyelesaikanya di medan yang lebih baik secara berdepan.
Malah katanya, wacana itu mungkin akan dapat mencambahkan pemikiran dan membantu kedua-dua pihak dan rakyat untuk melihat pandangan-pandangan dan penyelesaian dari perspektif dari dua generasi berbeza.
Setakat ini Dr Mahathir belum mengemukakan sebarang kenyataan balas atau kesediaannya untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Isham.
#Isham Jalil #Mahathir Mohamad #sesi wacana #hala tuju negara
;