Sesi menghadap: Agong jumpa serentak semua pemimpin politik
Hasimi Muhamad
Ogos 17, 2021 14:49 MYT
Ogos 17, 2021 14:49 MYT
KUALA LUMPUR: Wakil-wakil pemimpin politik mula tiba di Istana Negara di sini, sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sesi sembah maklum itu dipercayai berhubung perbincangan mengenai pelantikan Perdana Menteri kesembilan akan dijalankan serentak oleh Al-Sultan Abdullah.
Kenderaan dipercayai membawa Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man antara yang terawal tiba di pekarangan Istana Negara sekitar 1.23 tengah hari.
Beberapa minit selepas itu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula tiba.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi tiba sekitar 1.54 tengah hari.
Beliau sempat melambai tangan kepada pengamal media dari dalam kederaan yang dinaikinya.
Tepat pukul 2 petang, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) pula tiba, antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Manakala, Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusul selepas itu.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan kepada Astro AWANI, wakil parti itu turut dipanggil menghadap Seri Paduka Baginda.
Bersatu, kata Ahmad Faizal, diwakili Setiausaaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Selain itu, wakil Parti Warisan Sabah (Warisan) difahamkan diwakili Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Kabinet Baharu | Perkembangan siapa bakal Perdana Menteri ke-9?
Sesi menghadap Agong oleh ketua-ketua parti bermula hari ini susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional.
Beliau yang juga Presiden Bersatu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 29 Februari 2020 ekoran krisis politik selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Susulan peletakan jawatan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
#Yang di-Pertuan Agong
#Agong
#pemimpin politik
#Istana Negara
#Perdana Menteri
#Zahid Hamidi
#Mukhriz Mahathir
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#Anwar Ibrahim
#Hamzah Zainuddin
#Lim Guan Eng
#Mohamad Sabu
#Muhyiddin Yassin