'Sepatutnya saya, bukan kamu' - Anwar ketika saksi Dr M angkat sumpah PM
Agensi
September 21, 2018 08:15 MYT
September 21, 2018 08:15 MYT
Bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku ada timbul perasaan bahawa beliaulah yang sepatutnya mengangkat sumpah jawatan selaku perdana menteri pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu.
Dalam satu sesi dialog bersama penuntut dari pelbagai kolej di Singapura bertempat di Singapore Management University (SMU) pada Khamis, Anwar ditanya seorang pelajar, apa yang berlegar di fikirannya ketika menonton upacara Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.
"Anda mahu saya jujur atau bercakap secara politik? Secara politik sudah tentu saya gembira, semua orang sangat gembira. Tengok, Mahathir angkat sumpah, era baru untuk Malaysia.
"Saya rasa saya sepatutnya berada di situ. Betul, saya ada rasa begitu. Saya tak berbohong kepada anda, saya ada rasa begitu - sepatutnya saya, bukan kamu (Dr Mahathir)," kata Anwar disahut ketawa daripada para hadirin, lapor Channel News Asia.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei lalu.
Anwar, yang pada ketika itu sedang menjalani hukuman penjara, menonton upacara pelantikan itu dari wad hospital selepas menjalani pembedahan.
Dialog yang berlangsung hampir dua jam itu memberi peluang kepada pelajar negara itu untuk bertanyakan soalan tentang politik semasa Malaysia.